suria

Mengingati Almarhum Tunku...

SABTU INI, 8 Februari 2014, ialah hari ulang tahun ke-111 kelahiran Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj.

Pemimpin ulung ini bukan sahaja memimpin negara ke arah kemerdekaan, beliau juga merupakan tokoh yang berjaya menyatukan empat entiti - Sarawak, Sabah, Singapura dan Malaya - menjadi satu dalam Persekutuan Malaysia.

Institute for Democracy and Economic Afairs (IDEAS) dilancarkan pada tarikh yang sama dengan hari kelahiran Tunku pada tahun 2010.

Kami memilih tarikh yang sama dengan tarikh lahir Almarhum Tunku kerana kami berkongsi visi dengan beliau.

Dalam Pemasyhuran Kemerdekaan 1957 dan juga dalam Pemasyhuran Malaysia 1963, Almarhum Tunku mempertegaskan bahawa negara ini akan kekal menjadi sebuah negara demokratik yang berteraskan prinsip kebebasan dan keadilan, manakala peranan negara pula ialah menjaga kesejahteraan dan kebahagiaan rakyat setiap masa.

IDEAS ditubuhkan untuk menghidupkan kembali visi Tunku yang liberal ini.

Liberalisme bukan satu konsep yang asing buat Malaysia. Ia sebenarnya merupakan falsafah yang mendefinisikan negara ini sejak awal penubuhannya lagi.

Ia merupakan falsafah penubuhan negara kita. Mungkin ada yang terlupa perkara ini, tetapi sejarah negara menunjukkan dengan jelas bahawa inilah yang dimasyhurkan oleh Almarhum Tunku pada tahun 1957 dan kemudian 1963.

Di IDEAS, kita istiqamah untuk menghidupkan kembali visi liberal Almarhum Tunku. Kami sentiasa berhati-hati untuk tidak terperangkap dalam pengkajian sejarah semata-mata.

Kerana itulah kami sengaja tidak mahu mengulang-ulang apa yang telah Almarhum Tunku katakan.

Sebaliknya, kami cuba membawa pemikiran beliau ke arus perdana dalam konteks cabaran kontemporari.

Kami mahu idealisme Almarhum Tunku dilaksanakan, bukan hanya disebut-sebut sahaja.

Sekarang kami sedang bersedia untuk menganjurkan satu majlis khas sempena ulang tahun ke-111 kelahiran Almarhum Tunku pada hari Sabtu nanti.

Dalam pada itu, saya terfikir juga, jika Tunku masih hidup, apalah agaknya yang akan beliau katakan mengenai Malaysia pada hari ini?

Pada bulan Ogos 1975, beliau menulis bahawa “...terlalu banyak penekanan diberikan kepada Bumiputera dan tidak cukup kepada Bangsa Malaysia. Ini menyukarkan kita menyemai rasa cinta Malaysia di kalangan rakyat. Usaha-usaha menanam rasa patriotik dalam masyarakat kita yang majmuk menjadi terhakis akibat daripada penekanan yang salah ini.”

Pada tahun 1983 pula, beliau berkata “Di kalangan orang Melayu, ada yang mahu Malaysia menjadi negara Islam. Ini akan menyisihkan kesetiaan orang bukan Islam kerana mereka akan merasa bahawa mereka tiada tempat di Malaysia kerana Malaysia menjadi untuk orang Islam sahaja. Sebuah negara yang berpecah akhirnya akan hancur dan berkecai. Tiada sesiapa yang mahukan ini terjadi pada negara kita.”

Malahan, ada pandangan beliau yang agak keras juga. Almarhum Tunku pernah berkata “Apabila saya mendengar orang-orang Umno menjerit sekuat-kuatnya menuntut hak Melayu, saya tersentak dan merasa seolah-olah negara ini mundur ke zaman sebelum merdeka. Ini jauh sekali daripada era perjuangan kemerdekaan dan kita menang. Jadi, saya terfikir, adakah kita mara ke hadapan atau tergelincir ke belakang?”

Jika Almarhum Tunku masih hidup untuk melihat betapa agresifnya sesetengah pihak pada hari ini, saya yakin beliau akan tidak senang hati. Malahan, saya rasa beliau akan bersedih melihat betapa tiada kepimpinan yang dapat disaksikan sekarang ini untuk mempertahankan nilai-nilai liberal, toleransi dan keharmonian yang beliau perjuangkan sekian lama.

Dalam saya memikirkan mengenai perjalanan IDEAS selama empat tahun lepas, saya perlu akui bahawa saya sebenarnya menjadi semakin bimbang dengan masa depan negara kita.

Semenjak Datuk Sri Najib Tun Razak mengambil alih kerusi perdana menteri, kerajaan banyak memberi fokus untuk menangani masalah-masalah yang tidak terlalu sukar untuk diselesaikan.

Kini isu-isu tersebut sudah tidak banyak lagi. Maka proses transformasi nampaknya menjadi amat perlahan kerana wujud kekangan politik di sana sini. Kita tidak lagi mara ke hadapan seperti seharusnya.

Di tengah-tengah cabaran yang semakin getir itu, PKR pula tiba-tiba dengan sengaja memaksa diadakan sebuah pilihan raya kecil yang sebenarnya tidak perlu.

Tatkala negara memerlukan proses penyatuan nasional, PKR dengan tak semena-mena mencipta ruang ke arah perbalahan.

Kita memerlukan pemimpin yang benar-benar boleh mengubah masa depan negara. Kita perlukan pemimpin yang boleh memastikan Malaysia bergerak ke hadapan menjadi sebuah negara maju berteraskan visi Almarhum Tunku - prinsip kebebasan dan keadilan yang meletakkan kebahagiaan rakyat sebagai agenda paling utama.

Jadi, dengan latar belakang itu, saya ingin menjemput para pembaca untuk bersama kami menyambut ulang tahun kelahiran Almarhum Tunku yang ke-111 dan ulang tahun IDEAS yang keempat pada hari Sabtu 8 Februari ini.

Majlis khas tersebut akan diadakan di Memorial Tunku Abdul Rahman Putra, Jalan Dato Onn, Kuala Lumpur bermula pukul 9.45 pagi.

Tema kami pada kali ini ialah “Adakah Kerajaan Serius Dengan Proses Transformasi?”.

Kita akan mendengar syarahan daripada Tan Sri Ramon Navaratnam, Tan Sri Ambrin Buang, Datuk Seri Idris Jala dan Datuk Paul Low.

Saya berjanji saya akan berusaha sedaya upaya untuk membuat mereka membicarakan perkara kontroversial!

Maklumat lanjut boleh diperolehi daripada laman web kami www.ideas.org.my. Sila datang awal kerana tempat duduk adalah terhad.

Tetapi, jika dewan majlis nanti penuh sekali pun, Memorial Tunku Abdul Rahman merupakan tempat yang amat sesuai untuk dilawati pada hari istimewa tersebut.

> Wan Saiful Wan Jan ialah Ketua Eksekutif Institute for Democracy and Economic Affairs (www.ideas.org.my)

Artikel Sebelum

Artikel Lain