suria

Persemadian Mayat Choon Wah Disempurnakan Di Krematorium Cheras

Lee Nyok Ching (depan, kanan) balu Wong Choon Wah, bersama anak-anaknya, (dari dua kanan), Jazz Wong Fai, Wong Fai Lai dan Julia Wong Fai mengiringi mendiang Wong Choon Wah untuk dibawa ke Krematorium Cheras, Isnin. - fotoBERNAMA
Lee Nyok Ching (depan, kanan) balu Wong Choon Wah, bersama anak-anaknya, (dari dua kanan), Jazz Wong Fai, Wong Fai Lai dan Julia Wong Fai mengiringi mendiang Wong Choon Wah untuk dibawa ke Krematorium Cheras, Isnin. - fotoBERNAMA

KUALA LUMPUR: Upacara persemadian mayat mendiang Wong Choon Wah, bekas pemain tengah bola sepak tersohor negara era 70-an, disempurnakan di Krematorium Cheras, Jalan Kuari, di sini Isnin.

Terdahulu, balu mendiang Lee Nyok Ching, 63, anak kembar perempuan mereka Julia Wong Fai Mei dan Samantha Wong Fai Lai, 36, dan seorang lagi anak perempuan, Jazz Wong Fai Siang, 32, serta sanak-saudara dan rakan terdekat hadir pada upacara keagamaan berkaitan di sebuah rumah urus mayat di Sungai Besi.

Antara yang hadir memberi penghormatan terakhir kepada mendiang ialah bekas pemain bola sepak tersohor negara seperti Datuk Soh Chin Aun dan N. Thanabalan serta bekas Setiausaha Agung Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC)Datuk Peter Velappan.

Julia berkata bapanya merupakan seorang yang bersikap terbuka serta sangat memahami dan penyayang walaupun merupakan pemain bola sepak yang lasak sifatnya.

"Bapa saya sangat tenang dan terbuka karakternya. Walaupun mendiang tidak banyak cakap, namun senang didekati dan mempunyai ramai kawan," katanya kepada Bernama.

"Kali terakhir saya berjumpa ayah saya ialah sebelum sambutan Tahun Baharu Cina. Itulah pertama kali saya lihat ayah berpakaian sangat kemas dan segak untuk menghadiri satu majlis perkahwinan," kata Julia.

Choon Wah, 67, meninggal dunia Jumaat lepas ketika mendapatkan rawatan di Hospital Kuala Lumpur akibat serangan jantung.

Velappan pula menyifatkan mendiang sebagai seorang pemain berdisiplin tinggi dan tidak pernah mengeluh.

"Choon Wah bukan sahaja pemain berbakat, malah seorang pemain yang rajin dan akan turun seawal 6 pagi ke padang untuk latihan.

"Pemain dulu jalani latihan empat kali sehari tetapi tidak pernah mengeluh. Mendiang antara pemain yang memberi 100 peratus komitmen di padang," kata Velappan yang juga bekas Setiausaha Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) pada era 70-an. - BERNAMA

Artikel Lain