suria

Liew Chin Tong Pengerusi DAP Johor Yang Baharu

Liew Chin Tong -foto THE STAR
Liew Chin Tong -foto THE STAR

BATU PAHAT: Ahli Parlimen Kluang Liew Chin Tong telah dipilih oleh jawatankuasa DAP negeri Johor yang baharu dipilih untuk menggantikan Dr Boo Cheng Hau yang sebelum ini memegang jawatan pengerusi parti negeri.

Liew mengucapkan terima kasih kepada Dr Boo di atas sumbangan beliau kepada parti dan usahanya dalam membantu DAP dan Pakatan Rakyat bertapak di Johor.

"Keputusan hari ini akan hanya menyatupadukan lagi parti dan saya akan berusaha supaya DAP Johor mencapai segala matlamatnya," katanya, sambil menambah bahawa beliau telah menawarkan jawatan timbalan kepada Dr Boo tetapi beliau menolaknya.

DAP Johor sebelum itu mengadakan konvensyen tahunannya yang ke-17.

Dr Boo, yang jelas beremosi dengan keputusan itu berkata beliau percaya Liew memerlukan kebebasan dalam menjalankan tugasnya pemimpin baharu di Johor.

"Saya akan balik dan berehat, tetapi saya akan meneruskan tugas saya sebagai Anggota Dewan Undangan Skudai dan Ketua Pembangkang Johor," katanya.

Kejayaan Liew menewaskan Dr Boo dilihat ramai pemerhati sebagai 'kemenangan' Setiausaha Agung dan Penasihat DAP Lim Guan Eng serta Lim Kit Siang, yang tidak mempunyai hubungan baik dengan bekas Pengerusi DAP Johor itu.

S.Ramakrishnan pula dipilih Timbalan Pengerusi DAP Johor manakala veteran Ahmad Ton serta Tan Chen Choon dipilih Naib Pengerusi Satu dan Dua.

Terdahulu, 303 daripada 528 perwakilan yang hadir pada konvensyen parti memilih 15 anggota jawatankuasa DAP Johor daripada 23 calon yang disenarai.

Pada pemilihan itu, Liew di tempat ke-14 dengan 185 undi manakala Dr Boo memperoleh 219 undi untuk berada di tempat ke-10.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain