suria

Lagi Laporan Polis Berhubung Isu Kalimah Allah

Abdul Rani (tiga, kanan) menunjukkan laporan polis yang dibuat bagi membantah tindakan paderi Lawrence Andrew yang mahu menggunakan kalimah Allah di gereja-gereja negeri ini di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya pada Ahad.-fotoBERNAMA
Abdul Rani (tiga, kanan) menunjukkan laporan polis yang dibuat bagi membantah tindakan paderi Lawrence Andrew yang mahu menggunakan kalimah Allah di gereja-gereja negeri ini di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya pada Ahad.-fotoBERNAMA

PETALING JAYA: Tiga lagi pertubuhan bukan kerajaan (NGO) pada Ahad membuat laporan polis bagi menyatakan bantahan terhadap pendirian pengarang majalah mingguan Katolik 'The Herald" Paderi Lawrence Andrew berhubung isu penggunaan kalimah 'Allah'.

Presiden Pertubuhan Martabat Jalinan Muhibbah Malaysia (MJMM) Abdul Rani Kulup Abdullah yang mewakili dua NGO lain iaitu Sekretariat NGO Gabungan Negeri Selangor dan Ikatan Rakyat Insan Muslim Malaysia (IRIMM), menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan berhubung perkara itu.

"Kami menggesa pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengambil tindakan tegas di atas isu tersebut serta menahan dan menyoal siasat paderi itu," katanya kepada pemberita selepas membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya, di sini.

Pada 27 Disember lepas, Andrew berkata gereja Katolik di Selangor akan terus menggunakan kalimah Allah dalam perhimpunan mingguannya yang menggunakan bahasa Malaysia meskipun JAIS akan menghantar notis peringatan mengenai larangan pengunaan kalimah itu oleh bukan Islam.

Pada November lepas, Sultan Selangor telah menitahkan semua rakyat di negeri itu perlu akur dan patuh terhadap larangan penggunaan kalimah Allah oleh bukan Islam seperti termaktub dalam Enakmen Agama Bukan Islam Selangor (Kawalan Penyebaran Kepada Umat Islam) 1988.

Presiden IRIMM, Amir Amsaa Alla Pitchay berkata pihaknya turut membantah cadangan tiga Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) DAP Selangor untuk meminda enakmen itu dan menganggap ia tindakan melampaui batas.

Beliau berkata tindakan itu jelas tidak menghormati perasaan umat Islam di negara ini serta dengan sengaja membangkitkan isu-isu sensitiviti perkauman.

"Kami menyeru agar pihak polis mengambil tindakan terhadap mereka, supaya tiada pertikaian dalam perlembagaan Enakmen 1988 ini," kata Amir Amsaa.

Sebelum ini, Adun Damansara Utama Yeo Bee Yin, Adun Bukit Gasing Rajiv Rishyakaran dan Adun Kampung Tunku Lau Weng San mencadangkan agar enakmen itu dipinda untuk memastikan hak bukan Islam terjaga. - BERNAMA

Artikel Lain