suria

Umno Perlu Ada Visi Jelas Untuk Masa Depan - Najib

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak (dua, kanan) bersalaman bersama Presiden Hamas, Khaled Meshaal (dua, kiri) di Forum Antarabangsa Umno 2013 sempena Perhimpunan Agung Umno 2013 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di Kuala Lumpur pada Isnin. - foto BERNAMA
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak (dua, kanan) bersalaman bersama Presiden Hamas, Khaled Meshaal (dua, kiri) di Forum Antarabangsa Umno 2013 sempena Perhimpunan Agung Umno 2013 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di Kuala Lumpur pada Isnin. - foto BERNAMA
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak (dua, kanan) bersalaman bersama Presiden Hamas, Khaled Meshaal (dua, kiri) di Forum Antarabangsa Umno 2013 sempena Perhimpunan Agung Umno 2013 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di Kuala Lumpur pada Isnin. - foto BERNAMA

KUALA LUMPUR: Umno perlu komited untuk mempunyai visi yang jelas bagi masa depan dan bukan setakat berbangga dengan kegemilangan masa lalu, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau berkata parti itu mesti meletakkan kepentingan negara dan rakyat melebihi kepentingan sendiri dengan menolak rasuah, mengamalkan politik terbuka dan mendukung nilai-nilai kehidupan.

"Kita perlu mengeratkan hubungan antara rakyat kita, dari bandar-bandar paling besar sehingga kampung-kampung kecil. Kita mesti menunjukkan bahawa visi masa depan Malaysia adalah serasi dengan kehendak rakyat; bahawa Umno mempunyai visi yang jelas untuk masa depan dan bukan setakat berbangga dengan masa lalu," katanya.

Najib yang juga Presiden Umno berkata demikian semasa merasmikan Forum Antarabangsa selama dua hari bertemakan 'Politik Kesederhanaan Ke Arah Keamanan dan Kestabilan' yang diadakan bersempena Perhimpunan Agung Umno 2013 di sini, Isnin.

Beliau berkata Umno perlu menjadikan parti itu dan nilai-nilainya relevan dengan generasi baharu; kepada mereka yang hanya mengenali Malaysia sebagai sebuah negara yang kaya dan bebas dan mereka yang mengharapkan kebebasan lebih besar dan dengan peluang yang lebih banyak.

"Ini adalah politik baharu. Kita bukan berjuang dengan cara yang sama seperti pada tahun-tahun 1960-an, 1970-an atau 1980-an. Demi memastikan parti dan negara kita berjaya, kita perlu memahami aspirasi orang muda, lebih berpendidikan dan pengundi bandar. "Kita mesti sedar mengenai tradisi tetapi sentiasa melihat ke arah masa depan," katanya.

Najib berkata Umno telah mentadbir negara sejak zaman merdeka dan menjadikan nya sehingga kepada apa yang ada pada hari ini, iaitu sebuah masyarakat yang moden, aman, berbilang bangsa dan makmur.

Beliau berkata ia bukannya suatu usaha yang mudah untuk mengekalkan keamanan, kestabilan dan kemakmuran dan juga untuk mengamalkan kesederhanaan dan perbezaan daripada memberi fokus kepada apa yang memecahbelahkan rakyat.

"Pilihan raya umum tahun ini adalah sengit dan kemenangan yang dicapai adalah sukar. Harapan kedua-dua belah pihak (untuk menang) begitu tinggi dan kadang-kala terbawa-bawa mengikut emosi. Parti saya kembali mendapat mandat untuk memerintah tetapi keputusannya menampakkan peningkatan polarisasi kaum di negara ini.

"Saya mengakui bahawa saya mahu menyembuhkan luka-luka ini dan mencapai perdamaian nasional. Saya berazam untuk menerajui sebuah kerajaan yang mentadbir bagi semua rakyat Malaysia.

"Ini kerana saya percaya pencapaian terbesar kita bukan sahaja bagi membela satu bangsa sahaja tetapi mewujudkan sebuah negeri, sebuah negara, satu Malaysia. Ia merupakan usaha sepanjang hayat, dan ia masih belum selesai," katanya.

Beliau berkata dengan meletakkan dasar-dasar, dari segi sejarah, yang menyokong kumpulan tidak bernasib baik di tempat sewajarnya, kerajaan bukan menafikan hak-hak kumpulan yang lain, sebenarnya, sebuah ekonomi yang diasaskan atas pertumbuhan dengan keterangkuman, akan menunjukkan hasil yang lebih baik untuk semua komuniti. "Di bawah Barisan Nasional, dasar-dasar Bumiputera akan terus dilaksanakan setakat ia masih diperlukan. Sejarah kita menunjukkan bahawa tindakan afirmatif, perpaduan nasional dan pertumbuhan boleh wujud bersama. "Saya meminta sokongan berterusan daripada semua rakyat Malaysia, seperti mana kita membina kejayaan ekonomi dan melihat ke arah masa depan yang lebih baik," katanya.

- BERNAMA

Artikel Lain