suria

Pendengaran Rayuan Keputusan Terbuka Beng Hock Ditangguh 23 Januari

PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan di sini menangguhkan 23 Januari, bagi mendengar rayuan berhubung keputusan Mahkamah Koroner yang membuat keputusan terbuka dalam inkues kematian Teoh Beng Hock kerana rekod rayuan tidak lengkap.

Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Balia Yusof Wahi yang mengetuai panel tiga hakim membenarkan penangguhan itu selepas peguam Gobind Singh Deo memaklumkan kepada mahkamah terdapat beberapa dokumen dan barang kes yang hilang daripada rekod rayuan.

Beliau (Gobind) berkata dokumen yang hilang termasuk keputusan Koroner, gambar bedah siasat, eksibit dokumentari seperti laporan bedah siasat dan dokumen pakar forensik dan penghujahan yang dikemukakan dalam prosiding inkues itu oleh peguam yang mewakili kerajaan negeri Selangor, pendakwaan dan si mati.

Gobind yang mewakili abang Beng Hock, Meng Kee, merayu terhadap keputusan itu berhubung kematian pembantu politik DAP itu dengan Timbalan Pendakwa Raya Abazafree Mohd Abbas bersetuju dengan Gobind berhubung perkara itu.

Dua lagi panel terdiri daripada hakim Mahkamah Rayuan Datuk Rohana Yusuf dan Datuk Tengku Maimun Tuan Mat.

Balia Yusof juga menetapkan 9 Januari bagi pengurusan kes rayuan itu dan memberi amaran kepada semua pihak agar mereka sendiri hadir di hadapan timbalan pendaftar pada tarikh itu dan bukannya menghantar junior mereka untuk menghadiri pengurusan kes itu untuk mengelak alasan sama diberi di hadapan panel Mahkamah Rayuan.

Sementara itu, Balia Yusof yang mempersoal sama ada Mahkamah Rayuan mempunyai bidang kuasa untuk mendengar rayuan itu, juga mengarahkan pihak-pihak dalam rayuan itu menyediakan hujahan bertulis berhubung isu itu.

Teoh, 30, setiausaha politik kepada Anggota Exco Kerajaan Negeri Selangor Ean Yong Hian Wah, dijumpai mati di ruang tingkat lima Plaza Masalam di Shah Alam, Selangor, pada 16 Julai 2009, selepas memberi kenyataan di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Selangor, yang terletak di tingkat 14 bangunan sama.

Pada 5 Januari 2010 Koroner Azmil Muntapha Abas membuat keputusan terbuka dan memutuskan kematian Teoh bukan disebabkan membunuh diri atau dibunuh serta mendapati tiada pihak ketiga terlibat dalam kematian Teoh.

Pada 21 Julai 2011 Suruhanjaya Siasatan Diraja diketuai Hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri James Foong Cheng Yuen (kini telah bersara) merumuskan kematian Teoh kerana membunuh diri.

Meng Kee kemudian memfailkan permohonan mengikut Seksyen 323 Kanun Tatacara Jenayah di Mahkamah Tinggi pada 30 September 2011 untuk menyemak semula keputusan koroner itu.

Mahkamah Tinggi Shah Alam menolak permohonan semakan semula Meng Kee pada 1 Disember 2011.

Pada 2 Februari tahun lepas, Meng Kee mendapat kebenaran daripada Mahkamah Rayuan untuk merayu berhubung keputusan Mahkamah Tinggi itu.

Di luar mahkamah, Gobind memberitahu pemberita dokumen yang hilang diperlukan kerana ia sebahagian daripada penghujahan beliau di dalam rayuan.

"Saya tidak kata ia akan menyebabkan kelewatan (terhadap rayuan), tetapi proses menyusun dokumen itu tidak mudah kerana ia membabitkan dokumen yang banyak. "Untuk berlaku adil kepada mahkamah, mereka juga bertungkus lumus menyiapkan rekod itu. "Terdapat 17 jilid rekod dan mereka telah kumpulkan sebahagian besar tetapi kita perlu dapatkan dokumen selebihnya," katanya. -BERNAMA

Artikel Lain