suria

Rumah Lapan Keluarga Rosak Teruk Dilanda Ribut

KUALA TERENGGANU: Lapan keluarga mengalami kerugian puluhan ribu ringgit selepas bumbung rumah mereka di Kampung Petai Bubus di sini, diterbangkan angin dalam kejadian ribut petang Rabu.

Turut terjejas dalam kejadian 4.30 petang itu ialah Masjid Kampung Banggol Donas yang terletak berhampiran kampung berkenaan yang bumbungnya pecah diterbangkan ribut.

Seorang mangsa, Fatimah Awang, 52, berkata kejadian berlaku secara tiba-tiba menyebabkan dia dan lima anggota keluarganya hanya mampu melihat atap rumah mereka berterbangan dibawa angin.

Ketika ditemui pemberita pada Khamis, dia berkata kejadian disertai hujan lebat itu turut menyebabkan beberapa barang hantaran perkahwinan anak lelakinya rosak.

"Ketika kejadian makcik sedang memasak di dapur manakala anak-anak menonton televisyen di ruang tamu sebelum dikejutkan dengan bunyi guruh kuat dan angin seperti puting beliung," katanya.

Mereka sekeluarga kemudian melihat atap rumah diterbangkan angin satu demi satu, katanya menambah kerugian dianggar RM10,000.

Seorang lagi mangsa, Tengku Siwa Tengku Mat, 61, berkata ketika kejadian dia bersama keluarga berada di Jertih, Besut kerana menghadiri majlis akikah cucunya.

Katanya dia hanya mengetahui kejadian itu selepas dimaklumkan melalui telefon oleh saudaranya kira-kira pukul 5 petang dan segera bergegas pulang.

"Hampir 80 peratus atap pecah akibat ribut yang melanda dan malam tadi kami tidur dalam kesejukan beralaskan tikar plastik kerana semua tilam dan selimut basah," katanya yang menganggarkan kerugian kira-kira RM20,000. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain