suria

Pelaburan Mara Bhd Meterai Perjanjian Kerjasama Strategik Dengan 1Machine System

KUALA LUMPUR: Pelaburan Mara Bhd (PMB), anak syarikat milik penuh MARA pada Khamis menandatangani perjanjian kerjasama strategik dengan 1Machine System Sdn Bhd, pengeluar anti virus pertama negara.

Menerusi perjanjian itu, PMB akan membantu 1Machine System mengkomersialkan produk inovasi sistem anti virus atau perkhidmatan perisian keselamatan internet, keluaran syarikat Bumiputera kepada agensi-agensi kerajaan dan anak-anak syarikatnya selain memasarkannya di peringkat serantau dan global.

Pengerusi PMB Datuk Sohaimi Shahadan berkata kerjasama itu merupakan salah satu strategi pelaburan MARA untuk menjadi sebuah firma pelaburan dan pengurusan aset yang ulung.

"Kegiatan perniagaan PMB dilebarkan menerusi pegangan ekuiti majoriti dalam syarikat-syarikat di sektor-sektor infrastruktur, hartanah, minyak dan gas serta teknologi," katanya pada majlis menandatangani perjanjian itu di sini.

Beliau berkata kerjasama berkenaan memberi peluang kepada pelajar lulusan kolej and institusi MARA menjalani latihan industri, mendapatkan maklumat serta menjalinkan kerjasama dalam bidang teknologi dan inovasi.

Perjanjian tersebut ditandatangani oleh Sohaimi, Ketua Pegawai Eksekutif 1Machine Abbyamir Sapie dengan disaksikan oleh Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Datuk Abdul Rahim Abdul Ghani dan Pengerusi 1Machine System Datuk Megat Fairouz Junaidi Megat Junid.

Sementara itu, Abbyamir berkata 1Machine yang berjaya menghasilkan produk anti virus komersial pertama di Malaysia, kini meluaskan perniagaan mereka ke United Kingdom dan Sudan Selatan sebagai langkah pertama memasuki pasaran global.

"1Machine mengharapkan kerajaan dapat mewujudkan lebih banyak sokongan kepada syarikat-syarikat seperti kami. Bantuan dan sokongan bukan hanya dalam bentuk dana atau kewangan, malah dari segi sokongan dalam mempromosikan dan mengenalkan 1Machine ke peringkat antarabangsa," kata Abbyamir semasa ditanya mengenai harapan terhadap Belanjawan 2014 yang akan dibentangkan pada 25 Oktober ini. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain