suria

AirAsia Zest Jenama Baru Untuk Pasaran Penerbangan Filipina

KUALA LUMPUR: AirAsia tidak menarik diri dari pasaran Filipina, sebaliknya memperluaskan perkhidmatannya secara agresif melalui jenama baharu, AirAsia Zest, kata Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Group Tan Sri Tony Fernandes.

"Saya amat yakin tentang negara itu. Kami membeli Zest Air dan menjenamakannya semula kepada AirAsia Zest. Kami mencatatkan jualan harian semalam dengan penjenamaan baharu itu," kata beliau pada sidang media selepas sesi pleno pada hari terakhir Sidang Kemuncak Keusahawanan Global Keempat di sini, Sabtu.

Fernandes berkata demikian semasa ditanya sama ada langkah syarikat penerbangan tambang rendah itu menggantungkan penerbangan tiga kali seminggu dari Kuala Lumpur ke Clark Air Base bermakna syarikat penerbangan tambang rendah itu menarik diri dari Filipina.

"Malah, akan terdapat lebih banyak penerbangan ke Filipina melalui AirAsia dan AirAsia Zest.

"Kami tidak mahu mempunyai cabang yang banyak. Daripada mempunyai dua pangkalan, buat sementara ini kami berpindah dari Clark dan memberi tumpuan sekarang di Manila," katanya.

Mengenai operasi Malaysia, Fernandes berkata kumpulan dijangka mencatatkan keputusan suku tahunan yang terbaik pada suku keempat.

"Jumlah muatan amat aktif, hasilnya pasif. Penganalisis selalu menyebut tentang hasil tetapi kami mementingkan perolehan setiap tempat duduk. Kami akan terus berkembang dan meningkatkan bahagian pasaran meskipun persaiangan dan amat menguntungkan.

"Agak sukar bersaing dengan kami. Saya selalu katakan dalam sidang akhbar, syarikat tambang rendah selalu menang. Kami adalah syarikat 100 peratus tambang rendah," katanya.

Fernandes juga berkata, mereka kini mengharapkan KLIA2 memandangkan lapangan terbang itu akan mengembangkan lagi perniagaan mereka.

AirAsia Thailand pula, katanya mencatatkan prestasi yang baik dan dijangka lebih dari Malaysia.

"Indonesia mencatatkan prestasi yang hebat. Kami hanya syarikat kecil tetapi kami berkembang dengan pantas. Bahagian pasaran domestik kami berkembang daripada dua peratus kepada tujuh peratus. Kami menjadi peneraju di pasaran antarabangsa," kata Fernandes dan menjelaskan bahawa AirAsia Indonesia akan menambah 10 pesawat tahun ini dan enam pesawat lagi tahun depan.

Ditanya bila AirAsia India akan memulakan operasinya, Fernandes berkata beliau menjangkakan April atau Mei tahun depan.

Beliau juga berkata, persoalan sekarang ialah bukan bila bermula tetapi bermula dengan betul kerana terdapat banyak perkara yang cuba dilakukan di India.

"Tidak guna juga kalau ke sana tetapi bermasalah," katanya dan memberi contoh usaha mereka sebelum ini ke Jepun sebagai bermasalah kerana rakan kongsi mereka tidak memahami apa yang diingini oleh kumpulan.

Fernandes berkata, beliau tidak mahu kesilapan yang sama berulang lagi.

Menjawab soalan sama ada kumpulan penerbangan itu akan mengadakan kembali perkhidmatan ke London, beliau berkata terdapat permintaan yang tinggi bagi AirAsia X untuk memperkenalkan semula laluan London.

"Kami perlu ke Eropah. Terdapat permintaan yang tinggi bagi kami ke London dan mungkin di tempat lain di Eropah selatan. Ia merupakan langkah strategik yang penting," katanya lagi.

Artikel Lain