suria

Malindo Air Mula Terbang Ke Kochi

NEW DELHI: Syarikat penerbangan hibrid, Malindo Air, sudah bersedia memulakan perkhidmatan Kuala Lumpur-Kochi, negeri di selatan Kerala, India, tidak lama lagi, lapor Deccan Chronicle.

Penerbangan Malaysia (MAS) merupakan antara syarikat penerbangan yang sudah memulakan operasi bagi laluan itu baru-baru ini.

Yang lain ialah Silk Air, juga syarikat penerbangan perkhidmatan penuh, beroperasi setiap hari ke Singapura, manakala Tiger Airways, syarikat penerbangan tambang rendah, menawarkan perkhidmatan ke Singapura empat kali seminggu.

"Selain syarikat penerbangan ini, tiga lagi syarikat sedang berunding dengan Cochin International Airport Ltc (CIAL) untuk memulakan operasi ke destinasi-destinasi Timur-Jauh.

"Ia membabitkan syarikat penerbangan tambang rendah dari Malaysia, Malindo Air, Garuda Indonesia dan Thai Airways, syarikat penerbangan nasional Thailand," kata laporan itu.

Malindo Air juga merancang terbang ke New Delhi dan Mumbai.

"Berikutan jumlah penumpang yang semakin meningkat, lebih banyak syarikat penerbangan mula menyedari potensi laluan Kochi-Timur Jauh ini. Syarikat penerbangan ini menawarkan sambungan penerbangan yang mudah ke Australia, New Zealand, Jepun, California di Amerika Syarikat, yang memberi manfaat kepada penduduk Kerala yang menuju ke destinasi berkenaan," kata Pengarah Lapangan Terbang CIAL, ACK Nair.

MAS memulakan operasi KL-Kochi pada 1 September. AirAsia menawarkan penerbangan harian ke destinasi yang sama. - BERNAMA

Artikel Lain