suria

Ujian Fizikal & BMI Pegawai Beruniform Untuk Jaga Imej Jabatan - Pengerusi SPA

PUTRAJAYA: Syarat mewajibkan ujian fizikal dan Indeks Jisim Badan (BMI) untuk kenaikan pangkat pegawai beruniform harus diterima secara positif kerana ia mencerminkan imej keseluruhan jabatan, kata Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA).

Tan Sri Mahmood Adam berkata SPA bukan sahaja memberi peluang kepada calon kenaikan pangkat secara lantikan (KPSL) tetapi pada masa sama memberi pertimbangan sewajarnya untuk semua calon.

"Ujian fizikal untuk jawatan Pegawai Penguatkuasa Gred N41 telah berlangsung dari 8 September hingga hari ini (19 September) melibatkan 18 pusat ujian di seluruh negara. "Sejumlah 40,125 permohonan diterima dalam urusan pengambilan Pegawai Penguatkuasa Gred N41 bagi mengisi 16 kekosongan jawatan di Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) dan 22 jawatan di Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ)," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar di SPA di sini selepas menghadiri mesyuarat membincangkan kenyataan Presiden Cuepacs Datuk Omar Osman semalam yang meminta SPA melonggarkan syarat ujian kenaikan pangkat secara lantikan untuk pegawai badan beruniform di sini, Khamis.

Mahmood berkata daripada jumlah keseluruhan permohonan itu, hanya 12,129 calon layak mengikuti tapisan untuk dipanggil menghadiri ujian fizikal dan pancaindera (ujian mengenalpasti sama ada calon rabun warna dan pendengaran).

Calon yang berjaya akan ke peringkat temuduga yang diadakan sehari selepas ujian berkenaan, katanya.

Akhbar semalam melaporkan kenyataan Omar bahawa SPA tidak seharusnya membebankan calon berkelayakan tinggi dari segi pengalaman dan cara bertugas, dan pelaksanaan syarat wajib menduduki ujian BMI yang dikuatkuasa SPA sejak tiga tahun lalu dilihat seolah menyekat calon dinaikkan pangkat dan menikmati elaun pencen lebih bagus.

Mahmood berkata calon KPSL juga diberi pengecualian ujian penglihatan, kecergasan dan kelonggaran syarat ujian BMI iaitu ketetapan antara 19 hingga 20 BMI berbanding calon lain yang disyaratkan mempunyai BMI antara 19 hingga 26.

"Tiada tapisan bidang pengajian atau Purata Nilai Gred Kumulatif (CGPA)dikenakan kepada calon KPSL itu berbanding 9,963 calon lantikan terus yang dipanggil untuk menghadiri ujian sama (ujian fizikal dan pancaindera)," katanya.

Beliau berkata SPA sentiasa bersikap terbuka dan jika ada calon yang tidak boleh menghadiri temuduga atas sebab yang tidak dapat dielakkan, mereka boleh menghubungi SPA untuk memohon pertukaran tarikh yang sesuai sama ada pada waktu malam atau hujung minggu.

Sementara itu, Omar yang turut hadir pada sidang akhbar itu berkata beliau berharap SPA akan mempertimbangkan untuk melonggarkan syarat ujian kepada calon yang sedang berkhidmat dengan memberi peluang kedua dan ketiga sekiranya ujian pertama gagal dan mengambil kira tempoh perkhidmatan mereka. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Warga Thai Bebas Tuduhan Rogol Anak

Artikel Berikut

Artikel Lain