suria

Dua lelaki Dipenjara Kerana Lakukan Pemerasan

KOTA BARU: Dua lelaki pada Rabu dijatuhi hukuman penjara masing-masing selama 18 bulan dan 24 bulan oleh Mahkamah Sesyen di sini kerana melakukan pemerasan terhadap seorang buruh, Disember tahun lalu.

Hakim Mohd Yusoff Yunus menjatuhkan hukuman itu terhadap Norhafizi Nordin, 21; dan Mohamad Azizi Ab Rashid, 24; selepas kedua-dua mereka mengaku bersalah atas pertuduhan itu.

Bagaimanapun, seorang lagi rakan mereka yang dihadapkan atas pertuduhan yang sama, Wan Mohamad Ikhwan Wan Omar, 24, dikenakan denda RM10,000.

Mahkamah memerintahkan kedua-dua tertuduh menjalani hukuman penjara bermula dari tarikh mereka ditangkap pada 17 Disember 2012.

Mengikut pertuduhan, ketiga-tiga tertuduh bersama-sama didakwa dengan sengaja melakukan pemerasan terhadap Mohd Elias Mat Isa, 25, sehingga mangsa menyerahkan motosikal di tepi jalan Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Kuala Krai pada pukul 11.30 malam, 4 Disember 2012.

Kesalahan didakwa mengikut Seksyen 384 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua seksaan jika sabit kesalahan.

Terdahulu, kesemua tertuduh yang tidak diwakili peguam ketika mengemukakan rayuan memohon diringankan hukuman kerana sudah insaf dengan kesalahan masing-masing.

Timbalan Pendakwa Raya Intan Nor Hilwani Mat Rifin bagaimanapun memohon kesemua tertuduh dikenakan hukuman setimpal dengan mengambil kira kepentingan awam. - BERNAMA

Artikel Lain