suria

Melaka Kaji Mansuh Lesen Pusat Hiburan Keluarga

MELAKA: Kerajaan negeri Melaka akan mengkaji tindakan memansuhkan lesen pusat hiburan keluarga di negeri itu, sebagaimana dilakukan kerajaan negeri Johor.

Ketua Menteri Datuk Idris Haron berkata Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) telah diarah menjalankan kajian berhubung kesesuaian memansuhkan pengeluaran lesen berkenaan dalam mengekang gejala sosial dalam kalangan generasi muda.

Idris berkata, hasil kajian akan dibincangkan dalam mesyuarat Exco sebelum diputuskan pelaksanaannya.

"Ada perkara yang perlu dikaji contohnya, sekiranya pusat hiburan keluarga ditutup ia akan memberi kesan kepada keluarga (yang ingin bersantai bersama keluarga) tapi kalau dibuka mungkin disalah guna pihak tidak bertanggungjawab," katanya kepada pemberita di sini Sabtu.

Beliau diminta mengulas keputusan kerajaan negeri Johor memansuhkan lesen pusat hiburan keluarga mulai tahun depan, bertujuan membendung penularan serta peningkatan gejala sosial di negeri itu.

Idris berkata pada masa ini, kerajaan Melaka membenarkan pengoperasian semua pusat hiburan hanya di sekitar kawasan Melaka Raya yang merupakan pusat perniagaan dan hiburan.

Beliau berkata langkah itu bertujuan mengurangkan gejala negatif khususnya melibatkan golongan remaja sekiranya pusat hiburan dibenar beroperasi berhampiran kawasan perumahan.

Dalam perkembangan lain, Idris berkata kerajaan negeri akan memperketatkan peraturan terhadap pemaju projek perumahan di kawasan berhampiran sungai bagi mengelak berulangnya insiden lemas yang mengorbankan empat kanak-kanak di Sungai Melaka, Ahad lepas.

Beliau berkata pemaju perlu memasang papan tanda amaran di sekitar kawasan pembinaan selain mendapat kelulusan PBT untuk kerja pembinaan di tebing sungai.

"Saya telah mengarahkan PBT termasuk Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) negeri untuk menyiasat keadaan ini dan memberikan laporan terperinci kepada saya," katanya yang turut mengadakan lawatan ke lokasi kejadian di Taman Krubong di sini.

Dalam kejadian kira-kira 4 petang Ahad lepas, Hanis Balkis Fadzli, 7; dan abangnya Mohamad Nazmi, 9; serta dua rakan mereka iaitu Athafiz Amin, 10; dan Rodziatul Nadia Rosnan, 12, ditemui lemas ketika mencari lala di sungai itu.

Sempena lawatan itu, Idris turut menyampaikan sumbangan RM1,000 kerajaan negeri kepada tiga keluarga mangsa terlibat dan sumbangan RM2,500 pihak pemaju kepada setiap mangsa yang terkorban dalam tragedi itu. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain