suria

Pistol Buatan Sendiri, Sebutir Peluru Dirampas

ALOR SETAR: Polis merampas sepucuk pistol buatan sendiri dan sebutir peluru 'penabur' daripada seorang lelaki berusia 21 tahun di sebuah premis kereta sewa di Jalan Datuk Kumbar Selasa lepas.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, ACP Adzaman Mohd Jan berkata, dalam kejadian kira-kira 9 malam itu, polis menerima panggilan daripada seorang pekerja yang terjumpa sarung pistol dalam kereta jenis Proton Satria Neo yang disewa suspek.

Beliau berkata, pekerja itu bertindak menahan suspek yang berasal dari Kuala Kedah itu kerana enggan membayar sewa kereta sebelum polis tiba bagi melakukan pemeriksaan lanjut.

"Hasil pemeriksaan lanjut, kita jumpa sepucuk pistol buatan sendiri jenis 'pistol kerbau' yang diselit pada pinggang suspek," katanya kepada pemberita pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Setar, Khamis.

Adzaman berkata, pihaknya masih menyiasat sama ada suspek terlibat dalam kegiatan pengedaran dadah atau jenayah lain dan lelaki yang bekerja sebagai pesawah itu ditahan reman mulai semalam hingga 10 Julai ini.

Kes disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 dan Seksyen 8(a) akta sama.

Mengulas dakwaan berhubung dakwaan berlaku penderaan terhadap 13 penghuni sebuah rumah kebajikan persendirian di sini, Adzaman berkata setakat ini pihaknya menerima lapan laporan polis berhubung perkara itu.

Beliau berkata, pihaknya akan memanggil beberapa lagi saksi termasuk jiran bagi mendapatkan maklumat sebelum menyerahkan kes itu kepada pendakwa raya untuk tindakan lajut.

Siasatan awal mendapati tiada unsur penderaan fizikal dan pihaknya akan menyiasat sama ada terdapat unsur penderaan lain terhadap kanak-kanak berkenaan.

Beberapa hari lepas, akhbar melaporkan seramai 13 anak yatim, termasuk tiga orang kurang upaya (OKU), mendakwa dipukul dan didera pengetua rumah kebajikan itu.

Mangsa yang berusia lingkungan 13 hingga 17 tahun mendakwa dipukul dengan pelbagai objek termasuk selipar, pembaris, rotan dan kasut serta kepala dihentak ke dinding jika melakukan kesalahan. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain