suria

Jeneral Tan Sri Zulkifli Terima Tugas Naib Canselor UPNM Keempat

KUALA LUMPUR: Jeneral Tan Sri Zulkifli Zainal Abidin pada Jumaat secara rasminya mengambil alih tugas sebagai Naib Canselor Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) keempat daripada Lt Jen Datuk Seri Allatif Mohd Noor.

Majlis serah tugas itu berlangsung di Bilik Mesyuarat Senat, UPNM dan disaksikan Pengerusi Lembaga Pengarah UPNM, Laksamana Tan Sri Mohd Anwar Mohd Nor.

Terdahulu, Zulkifli menerima tabik hormat dan memeriksa kawalan kerhormat utama dari Batalion Pertama RAMD, Kem Tentera Sungai Besi di Dataran Wawasan UPNM.

Perbarisan perpisahan turut diadakan di perkarangan yang sama yang dihadiri warga UPNM untuk memberi penghormatan terakhir kepada Allatif selepas majlis serah tugas itu selesai.

Zulkifli, 55, pernah menerajui UPNM pada September 2008 hingga 19 Mei 2010 sebelum dilantik menjadi Panglima Tentera Darat pada 15 Jun 2011.

Dalam sidang media kemudian, Zulkifli berkata beliau berharap dapat menyambung semua usaha yang dilakukan bekas naib canselor itu untuk memastikan UPNM terus menjadi sebuah universiti pertahanan dan keselamatan yang cemerlang.

"Jika ada sebarang perubahan atau pembaharuan, saya akan kaji dahulu sebelum dilaksanakan," katanya yang mempunyai pengalaman luas dalam bidang ketenteraan dan keselamatan.

Zulkifli pernah menjadi jurulatih kanan di New Zealand Army Infantry School selama dua tahun, apabila beliau bertanggungjawab mengajar pegawai dan anggota tentera New Zealand serta negara-negara Komanwel yang lain dalam pengajian senjata, taktik dan peperangan menentang insurgensi.

Antara pengalaman lain, beliau merupakan seorang pensyarah dan jurulatih dalam pengajian pengurusan untuk pegawai-pegawai tentera peringkat pertengahan di Institut Latihan dan Pengurusan Tentera Darat dari 1992 hingga 1993. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain