suria

Polis Tahan Peserta 'Flash Mob'

KUALA LUMPUR: Pihak polis telah menahan kira-kira 10 orang peserta Flash Mob Perhimpunan Black 505 di luar pusat beli-belah Sogo pada Sabtu.

Antara mereka yang ditahan ialah Pengarah Propaganda Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) Edy Noor Reduan.

Para peserta Flash Mob yang lain berkata mereka berhasrat untuk berkumpul di balai polis Dang Wangi untuk bersama rakan-rakan mereka yang ditahan pihak polis.

Acara Flash Mob ini, antara lain bertujuan sebagai pembuka tirai kepada perhimpunan utama pada 22 Jun ini yang menyaksikan sekumpulan kecil manusia berkumpul di hadapan Sogo pada petang Sabtu.

Pihak polis dilihat mengadakan perbincangan dengan peserta, menggesa mereka untuk bersurai.

Walau bagaimanapun, para peserta menjawab adalah menjadi hak mereka untuk berhimpun secara aman.

Flash Mob ini dianjurkan oleh penganjur yang sama di sebalik perhimpunan utama yang akan mengadakan perhimpunan di Padang Merbok pada 22 Jun.

Ketua Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) Badrul Hisham Shaharin berkata aktiviti-aktiviti ini bertujuan untuk memastikan mobilisasi terbesar untuk orang ramai menyertai Perhimpunan Black 505 bagi membantah keputusan pilihan raya umum ke-13.

Beliau berkata 'Flash Mob' yang pertama akan diadakan di Jalan Tuanku Abdul Rahman berhampiran pusat beli-belah Sogo pada pukul 2 petang, Sabtu, manakala yang seterusnya akan diadakan di Jalan Tun Perak pada pukul 6 petang, Rabu.

"Flash Mob pertama adalah pembuka tirai kepada acara utama pada 22 Jun dan kami menjangka ia berlarutan sehingga kira-kira pukul 5 petang.

"Kami juga akan mengadakan 'countdown' (Perhimpunan Black 505) di Kuala Lumpur dan Dewan Perhimpunan Cina Selangor pada 21 Jun," katanya, Jumaat.

Artikel Lain