suria

Anwar Akui Bukan Mudah Turunkan Harga Barang

BUKIT MERTAJAM: Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim mengakui bukan suatu perkara yang mudah bagi kerajaan untuk menurunkan harga barang di negara ini.

Katanya ini berdasarkan pengalamannya yang pernah menjadi Menteri Kewangan selama lapan tahun.

"Saya (pernah jadi) Menteri Kewangan (selama) lapan tahun, saya tahu bila nak turun harga barang pening kepala nak fikir..." katanya pada ceramah perdana pakatan pembangkang di tapak pasar malam di Ampang Jajar dekat sini malam Isnin.

Dalam pada itu, Anwar menunjukkan yang beliau yakin untuk mempertahankan kerusi Parlimen Permatang Pauh pada pilihan raya umum ke-13, Ahad ini dan pakatan pembangkang mengambil alih kepimpinan kerajaan pusat.

Beliau sekali lagi berkongsi angan-angan dengan hadirin yang hadir dengan berkata: "InsyaAllah, kita menang pilihan raya 5 hari bulan, malam (5 Mei), 6 hari bulan (6 Mei) pagi InsyaAllah kita tubuh kerajaan baharu pakatan rakyat.

7 hari bulan (7 Mei) InsyaAllah kita turunkan harga minyak seluruh negara. Minggu depan, dekat dah ni. Saya pun pening kepala bila nak umum ni...pening, bukan senang".

Kawasan Parlimen Permatang Pauh menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara Anwar, calon BN Datuk Dr Mazlan Ismail dan calon bebas Dr Abdullah Zawawi Samsudin. -BERNAMA

Artikel Lain