suria

Jangan Sabotaj Parti, Nasihat Kepada Ahli Parti Komponen BN

TAWAU: Jentera pilihan raya parti komponen Barisan Nasional dinasihat tidak mensabotaj calon parti pada pilihan raya umum ke-13 ini ekoran pemimpin pilihan mereka tidak terpilih menjadi calon.

Pengerusi Barisan Nasional (BN) Bahagian Tawau Datuk Tawfiq Abu Bakar Titingan berkata sebaliknya semua anggota dan pendukung parti BN perlu merapatkan barisan dan mengukuhkan perpaduan bagi memastikan kemenangan besar BN.

"Pilihan raya bukan sahaja sebagai tempat untuk kita memilih kerajaan tetapi sebagai ukuran sejauh mana kita bekerjasama sebagai satu pasukan...rapatkan barisan dan jangan sabotaj kawan dan jangan menyebabkan kekalahan parti atau mengurangkan majoriti kemenangan parti", katanya kepada pemberita di sini Rabu.

Tawfiq yang juga Ketua Umno Bahagian Tawau berkata apa yang paling penting perlu dilakukan ialah menerima keputusan pemimpin tertinggi BN kerana keputusan itu dibuat berdasarkan perspektif sangat luas. "Kita faham setiap kali pilihan raya ada sahaja pihak menawarkan diri menjadi calon dan mereka ini juga calon 'winnable'...sudah pasti ada antara yang diputuskan (calon) itu tidak memuaskan hati pihak-pihak tertentu tetapi saya yakin majoriti rakyat akan memberikan sokongan padu kepada calon-calon BN di Tawau," katanya.

Sehubungan itu, Tawfiq berharap jentera pilihan raya BN di Tawau akan melipat-gandakan usaha untuk memastikan kemenangan BN pada pilihan raya kali ini dengan melupakan seketika sebarang persengketaan ataupun rasa tidak puas hati sebelum ini.

Tawfiq, calon bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Apas juga mengingatkan pengundi supaya membuat pilihan bijak dan menolak pembangkang yang jelas rapuh dan tiada kesepakatan apabila meletakkan calon masing-masing untuk bertanding di kawasan sama.

"Saya sifatkan mereka ini bukan parti pakatan tetapi parti kerapuhan kerana tidak menunjukkan sebarang kesepakatan dalam meletakkan calon-calon mereka," katanya.

Katanya langkah BN yang hanya meletakkan seorang calon bertanding di setiap kawasan jelas menunjukkan perpaduan dan kesepakatan. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain