suria

PRU-13: Anwar Umum Dua Calon Kerusi Parlimen Di Melaka

MELAKA: Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan dua calon kerusi parlimen yang akan bertanding di bawah Parti Keadilan Rakyat (PKR) di Melaka.

Ketua PKR negeri, Shamsul Iskandar Md Akin dinamakan sebagai calon di kawasan parlimen Bukit Katil, manakala bekas Pengerusi Majlis Guru Besar Sabah, Rahim Ali, 67, yang akan bertanding bagi kerusi parlimen Tangga Batu.

Kedua-duanya diperkenalkan kepada para penyokong parti dalam satu perhimpunan di Taman Putera di Bukit Baru, di sini pada malam Isnin.

Pencalonan Shamsul bukanlah satu kejutan di kalangan media, namun kemunculan pertama Rahim pada majlis itu menimbulkan kejutan berikutan beliau sebelum ini bertanding dan ditewaskan oleh Tamrin Abdul Ghafar Baba di kerusi parlimen Batu Berendam pada 1990 di mana beliau bertanding di bawah tiket Semangat 46.

Rahim, bapa kepada tujuh anak itu menyertai PKR pada 1998 bagi menyokong Anwar, seniornya di universiti, apabila ketua pembangkang itu digugurkan sebagai Timbalan Perdana Menteri pada ketika itu.

Ahli akademik itu merupakan Pengerusi Majlis Guru Besar Sabah antara 1979 sehingga 1981.

Rahim yang dilahirkan di Bukit Rambai di sini kini merupakan Ketua Cabang PKR Tangga Batu.

Artikel Berikut

Artikel Lain