suria

Projek Mega Bernilai RM6.3 Bilion Penuh Muslihat - Pemuda BN P.Pinang

GEORGETOWN: Pemuda Barisan Nasional (BN) Pulau Pinang menyifatkan projek mega bernilai RM6.3 bilion yang diumumkan kerajaan negeri sebagai penuh dengan muslihat dan meragukan kerana banyak persoalan belum dijawab oleh Ketua Menteri Lim Guan Eng.

Timbalan Ketua Pemuda BN negeri Shaik Hussein Mydin berkata sebagai ketua menteri, Lim sepatutnya memberi penjelasan terperinci berhubung projek mega itu supaya rakyat di negeri ini yakin dengan kemampuan kerajaan pakatan pembangkang itu menyiapkan projek berkenaan.

"Banyak persoalan yang ketua menteri tak jawab. Kita dah tanya kat dia siapa buat jalan ni, ada apa-apa hubungan politik ke, kapasiti kewangan macam mana, siapa tiga syarikat ni yang kita tak pernah dengar sebelum ni.

"Jadi kita minta ketua menteri jawablah, jangan dok diam saja. Kami tanya dia kena jawablah. Secara peribadi saya merasakan keseluruhan projek ini penuh dengan muslihat. Saya pun tak boleh faham kenapa dia nak buat terowong ni cepat-cepat sebelum pilihan raya ni," katanya pada sidang akhbar di sini, Rabu.

Projek mega yang diumum kerajaan negeri pimpinan DAP itu melibatkan pembinaan tiga projek lebuh raya utama dan sebuah terowong dasar laut dari Gurney Drive ke Bagan Ajam.

Pembinaan projek itu diserah kepada Consortium Zenith BUCG Sdn Bhd iaitu syarikat tujuan khas yang dibentuk daripada lima syarikat - Zenith Construction Sdn Bhd, China Railway Construction (dua syarikat ini memegang keseluruhan 70 peratus ekuiti), Beijing Urban Construction Group (BUCG), Sri Tinggi Sdn Bhd dan Juteras Sdn Bhd yang masing-masing memiliki 10 peratus.

Shaik Hussein yang juga Ketua Pemuda Umno negeri berkata kerajaan negeri seharusnya menyatakan secara terperinci projek yang akan dilaksanakan terlebih dahulu dan syarikat yang akan bertanggungjawab melaksanakan setiap projek yang dirancang supaya rakyat dapat menilai kemampuan mereka dari segi teknikal dan kewangan.

Beliau berkata kerajaan negeri perlu menyiapkan kesemua projek berkenaan terlebih dahulu sebelum memberi tanah tebus guna seluas 44.51 hektar di Seri Tanjong Pinang secara percuma kepada syarikat konsortium bagi pembinaan projek mega itu.

"Ketua menteri kena menyatakan dengan khusus dan jangan mempolitikkan isu ini. Ini kepentingan rakyat dan kita tak nak tanah kita ni diambil oleh satu syarikat yang mungkin tak mampu menyiapkan projek ini kerana kita tak tau siapa mereka yang kita waswas dari segi kemampuan kewangan dan teknikal," katanya. BERNAMA

Artikel Lain