suria

BNM Lantik Semula Muhammad Ibrahim, Lantik Sukhdave Sebagai Timbalan Gabenor

KUALA LUMPUR: Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz pada Rabu mengumumkan pelantikan semula Datuk Muhammad Ibrahim dan pelantikan Dr Sukudhew (Sukhdave) Singh sebagai Timbalan Gabenor.

Bercakap pada sidang akhbar di sini, beliau berkata Muhammad, yang dilantik sebagai Timbalan Gabenor pada 16 Jun, 2010 untuk tempoh tiga tahun, akan terus bertanggungjawab dalam pengurusan rizab antarabangsa, pasaran wang dan operasi pertukran asing serta pengawalan dan pembangunan sektor kewangan termasuk sistem pembayaran.

Tempoh perkhidmatan beliau selama tiga tahun lagi mulai 16 Jun tahun ini.

Sementara itu, Sukhdave, yang bertanggungjawab bagi sektor monetari dan ekonomi serta sektor pembangunan organisasi bank, akan memulakan tugas selama tiga tahun berkuat kuasa 16 April.

Beliau sekarang ini adalah Penolong Gobenor yang bertanggungjawab bagi sektor monetari dan ekonomi yang juga termasuk fungsi perkhidmatan antarabangsa dan statistik bank.

Sukhdave, yang merupakan anggota Jawatankuasa Dasar Monetari Bank dan mempengerusikan Kumpulan Kerja Dasar Monetari bank, juga bertanggungjawab terhadap inisiatif integrasi serantau dan juga telah mempengerusikan beberapa pasukan petugas serantau mengenai kerjasama kewangan dan monetari.

Beliau memulakan kerjaya di bank pada 1986 dan memperoleh Doktor Falsafah (PhD) dalam jurusan Monetari dan Ekonomi Antarabangsa daripada Vanderbilt University, Amerika Syarikat.

Dengan pelantikan berkenaan, bank pusat kini mempunyai tiga Timbalan Gabenor seperti yang diperuntukkan dalam Akta Bank Negara Malaysia 2009. BERNAMA

Artikel Lain