suria

Bapa Saiful Tidak Akan Sumpah Laknat

Azlan Mohd Lazim
Azlan Mohd Lazim
Azlan Mohd Lazim

PETALING JAYA: Bapa Mohd Saiful Bukhari, Azlan Mohd Lazim menegaskan beliau tidak akan membuat sumpah laknat bagi membuktikan dakwaannya bahawa kes liwat II membabitkan anaknya dan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai satu fitnah.

Tegas dengan pendirian bahawa dakwaannya Jumaat lalu adalah benar, Azlan berkali-kali menolak gesaan pelbagai pihak yang mahu supaya beliau melakukan sumpah laknat sama seperti yang dilakukan Mohd Saiful pada 2008 yang mengakui diliwat Anwar.

"Tidak...tidak...saya tak akan bersumpah. Dalam sejarah Malaysia sudah banyak orang sumpah itu, sumpah ini.

"Jadi saya tidak akan bersumpah dan saya tegas dengan kenyataan akhbar saya sebelum ini," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Parti Keadilan Rakyat (PKR) di sini, Isnin.

Diasak dengan soalan mengapa beliau takut untuk bersumpah laknat sekiranya berada dipihak yang benar, Azlan bagaimanapun dengan tegas menyatakan: "Saya tidak takut (bersumpah).

"Kalau saya takut, saya tidak akan memberi apa-apa kenyataan akhbar...lebih baik saya diam," katanya.

Sementara itu Azlan turut meminta maaf kepada Mohd Saiful dan menjelaskan bahawa beliau tidak berniat untuk mengkhianari anaknya itu.

"Saya ingin meminta maaf kepada beliau (Saiful) di atas apa yang berlaku. Saya tidak berniat untuk aniayai atau khianati anak kandung saya sendiri.

"Saya tetap bersama beliau dan anak-anak saya yang lain. Kasih sayang saya tidak berbelah bahagi sehingga ke akhir hayat," katanya.

Jumaat lalu Azlan pada satu sidang media tertutup mendakwa kes liwat II merupakan satu konspirasi bagi menjatuhkan karier politik Anwar.

Bagaimanapun pada hari yang sama, Mohd Saiful ketika sidang media menjawab dakwaan bapanya itu menyatakan pendirian untuk berpegang teguh pada sumpah laknatnya sebelum ini bahawa dia pernah diliwat oleh Anwar pada 2008, sekali gus menolak dakwaan bapanya, Azlan.

Sementara itu, ketika diminta mengulas mengenai dakwaan bahawa beliau dibayar oleh PKR untuk membuat kenyataan 'pusingan U' berhubung kes liwat berkenaan, Azlan berkata: "Saya tidak berhak untuk halang tomahan orang. Biarlah mereka terus buat dakwaan."

Ditanya mengapa beliau tidak menghalang Mohd Saiful daripada membuat sumpah laknat serta meneruskan dakwaan di mahkamah berhubung dakwaan diliwat, Azlan bagaimanapun memberi jawapan bahawa beliau merupakan orang berpegang teguh kepada prinsip.

"Saya mempunyai prinsip yang jelas dan saya telah tegaskan dalam kenyataan akhbar saya yang lalu. Terpulang kepada masyarakat untuk percayai kenyataan saya atau tidak, itu adalah pendirian saya.

"Sebagai bapa saya tahu dengan lebih jelas apa yang berlaku di belakang tabir...yang orang lain tidak tahu," katanya.

Artikel Lain