suria

Tiada Had Masa Bagi Tunggakan Caruman KWSP

KUALA LUMPUR:Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) pada Rabu menetapkan tiada lagi had masa enam tahun bagi mendapatkan semula tunggakan caruman ahli daripada majikan yang tidak mencarum.

Pengurus Besar Perhubungan Awamnya Nik Affendi Jaafar berkata keputusan itu diambil setelah Mahkamah Persekutuan pada 16 Jan lepas mengesahkan keputusan Mahkamah Rayuan berhubung kes majikan tidak mencarum yang sebulat suara tidak memberi kebenaran lanjut untuk merayu menggunakan isu had masa.

"Dengan keputusan penting ini sebarang rayuan yang dibuat oleh majikan tidak mencarum atas alasan isu batasan had masa tidak boleh dipertikaikan lagi dalam mana-mana mahkamah kerana ia telah diputuskan oleh Mahkamah Persekutuan sebagai undang-undang mapan.

"Oleh itu majikan atau pengarah syarikat perlu mengambil tindakan proaktif untuk memastikan bayaran caruman KWSP pekerja mereka dibayar tepat pada masanya, di samping sentiasa mengemaskinikan rekod lantikan dan peletakan jawatan pengarah syarikat dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia," katanya dalam satu kenyataan di sini Rabu.

Nik Affendi berkata kadar majikan tidak mencarum bagi suku tahun keempat tahun lepas menurun kepada 1.20 peratus berbanding 1.48 peratus pada suku tahun sebelum itu berikutan usaha gigih penguatkuasaan KWSP dan kesedaran majikan mengenai tanggungjawab terhadap kesejahteraan persaraan pekerja.

"Pada suku tahun keempat 2012, sebanyak 436 nama pengarah syarikat telah dikemukakan kepada Jabatan Imigresen untuk menghalang mereka daripada meninggalkan negara sebelum menjelaskan tunggakan caruman KWSP sebagaimana yang diperuntukkan di bawah Seksyen 39 Akta KWSP 1991," katanya.

Beliau berkata mengikut Akta KWSP 1991 itu semua majikan diwajibkan membayar caruman bulanan berkanun kepada pekerja sebelum atau pada 15 haribulan setiap bulan.

Sehubungan itu Nik Affendi menggesa ahli supaya sentiasa menyemak akaun KWSP bagi memastikan caruman KWSP teratur dan sekiranya terdapat sebarang keraguan dalam akuan itu mereka perlu melaporkan segera kepada KWSP dengan menyediakan dokumen sokongan seperti slip gaji dan surat pelantikan.

"Semakan akaun KWSP boleh dilakukan mengikut keselesaan ahli melalui kemudahan i-Akaun. Bagi ahli yang masih belum mendaftar untuk kemudahan ini, KWSP menggalakkan mereka supaya berbuat demikian secepat mungkin.

"Laporan terhadap majikan yang gagal membayar caruman boleh dibuat sendiri oleh ahli di cawangan KWSP terdekat. Ahli juga boleh menghubungi Pusat Panggilan KWSP di talian 03-8922 6000 yang dibuka 8 pagi hingga 7 malam, Isnin hingga Jumaat atau menghantar pertanyaan secara online melalui laman web myEPF di http://enquiry.kwsp.gov.my," katanya.

Nik Affendi menyarankan supaya majikan juga menggunakan kemudahan yang disediakan menerusi i-Akaun yang membolehkan mereka menyemak senarai pekerja yang telah dibayar caruman dan rekod bayaran dengan selamat secara online. -- BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain