KOTA KINABALU: Satu rombakan terhadap pelan tindakan gajah akan dilakukan akibat daripada tragedi kematian gajah terburuk di Sabah yang meningkat kepada 14 ekor apabila seekor lagi gajah Borneo Pygmy ditemui mati di Hutan Simpan Gunung Rara.Kerajaan negeri bersedia mengkaji semula usaha-usaha pemuliharaan dan mengambil tindakan sewajarnya ke arah mengukuhkan pemuliharaan dan tindakan gajah serta merancang untuk memastikan tragedi yang serupa tidak berulang lagi di negeri ini. "Perkara ini tidak boleh berulang lagi, kami berusaha mengatasi sebarang kelemahan dan menangani kelemahan tersebut,'' kata Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah Datuk Masidi Manjun yang dihubungi pada Khamis.Sejak 29 Disember, 14 gajah ditemui mati dipercayai telah diracun di kawasan Gunung Rara.Setakat ini punca sebenar keracunan belum dikenal pasti manakala pegawai-pegawai hidupan liar masih menunggu laporan kimia terhadap punca kematian.Masidi berkata, beliau akan memanggil pegawai-pegawai kanan kementerian dan NGO untuk mesyuarat bagi melihat aspek keseluruhan pemuliharaan dan langkah-langkah yang perlu diambil untuk memastikan bahawa konflik hidupan liar diuruskan dengan baik.Ini termasuk melihat kelemahan serta isu-isu penguatkuasaan, beliau menegaskan bahawa semua pihak yang berkepentingan harus memainkan peranan dan bertanggungjawab dalam melindungi hidupan liar.Polis juga membantu dalam siasatan ini, kerana ada kemungkinan unsur jenayah dalam insiden yang telah mengejutkan di seluruh dunia.