suria

10,000 Pelajar Dijangka Akan Diambil Pada Pembukaan Universiti Xiamen Pada 2015

PETALING JAYA: Kampus Universiti Xiamen di Malaysia yang menjadi satu-satunya kampus universiti China di luar negara dijangka bakal mempunyai 10,000 pelajar apabila kampus siap sepenuhnya.

Kampus ini akan mengambil kumpulan pertama pelajar pada tahun 2015, kata utusan khas Perdana Menteri ke China, Tan Sri Ong Ka Ting.

Menurut Presiden Universiti Xiamen Prof Zhu Chongshi, satu pertiga daripada pelajarnya nanti terdiri daripada rakyat Malaysia, kata Ong.

"Satu lagi bahagian adalah pelajar dari China dan selebihnya adalah dari negara-negara Asean," kata Ong dalam temu bual di sini, Selasa.

Penubuhan Universiti Xiamen di Salak Tinggi berhampiran Sepang menunjukkan usaha Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menjadikan Malaysia sebagai hab pendidikan serantau yang lebih tinggi.

"Pelajar kita akan berpeluang melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi di Universiti Xiamen yang tersenarai dalam 20 kedudukan teratas daripada lebih 800 institusi akademik tempatan di China.

"Pelajar kita juga akan berpeluang mempelajari dan bergaul dengan pelajar dan pensyarah dari China dan negara-negara Asean. Pendedahan ini menjadi satu kelebihan kepada pelajar apabila mereka bergraduat," katanya.

Ong berkata universiti ini begitu istimewa bagi Malaysia kerana ditubuhkan oleh Tan Kah Kee, yang merupakan hartawan getah berjaya di Malaya dan Singapura, pada tahun 1921.

"Tan seorang yang pemurah dan tidak mementingkan diri sendiri yang menderma semua kekayaan, termasuk menjual syarikat sendiri untuk penubuhan, pengendalian dan pengekalan universiti sebelum ia bertukar menjadi milik kerajaan," katanya.

"Kita gembira selepas hampir satu abad, kampusnya akan ditubuhkan di Malaysia. Ia sangat bermakna."

Ong berkata Perdana Menteri telah memberitahu Wen Jiabao di Nanning tahun lepas bahawa Malaysia mengalu-alukan hasrat menubuhkan cawangan universiti di Malaysia.

Sejak itu, pegawai-pegawai dari Malaysia dan pihak berkuasa universiti telah melakukan banyak usaha untuk menjayakan penubuhan cawangannya di Malaysia, kata Ong.

Pada Isnin, Najib mengadakan mesyuarat dengan Zhu dan 20 delegasi di Kompleks Bunga Raya Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur di Sepang.

Najib menyaksikan Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menyerahkan jemputan pembukaan kampus kepada Zhu.

Artikel Berikut

1.14 Juta Sertai Skuad Muda KDN

Artikel Lain