Wataniah Perlu Lebih Kreatif Tambah Anggota - Raja Muda Perlis

KANGAR: Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail mahu regimen askar Wataniah lebih kreatif memikat lebih ramai belia dan beliawanis menyertai pasukan itu termasuk dalam kalangan bukan Melayu.

Menurut baginda, masih banyak ruang untuk bukan Melayu, anak-anak felda dan individu menyertai pasukan yang menjadi benteng pertahanan nombor dua negara itu.

Bertitah pada majlis taklimat perancangan latihan dan aktiviti sukarela tahun 2013 Regimen 504 Askar Wataniah di Kem Bukit Keteri dekat sini Khamis.

Baginda berharap perancangan itu akan berupaya membentuk sukarelawan yang terlatih dan kental.

"Selain itu, semua batalion dalam rejimen harus diberikan skop dan tanggungjawab masing-masing, merencana strategi dalam usaha menambah bilangan anggota termasuk promosi dan latihan," titah baginda.

Tuanku Syed Faizuddin yang juga Komander Regimen 504 Askar Wataniah bertitah, Wataniah akan terus mendapat tempat jika latihan dan aktivitinya memenuhi kehendak, cita rasa dan cara hidup belia dan beliawanis masa kini.

"Bagi menjayakan misi dan visi pasukan, setiap pegawai mestilah bersedia untuk bekerja keras tanpa rasa penat dan jemu serta mematuhi arahan pihak atasan.

"Kejayaan mustahil dicapai sekiranya anggota dalam organisasi tidak memberikan sepenuh komitmen," titah baginda.

Baginda juga meminta para jurulatih supaya mempunyai kesedaran bahawa mereka merupakan acuan dan penentu kepada tahap pencapaian seseorang anggota sukarela, oleh demikian mereka perlu melengkapi diri dengan pengetahuan luas di samping bersedia berkongsi pengalaman.

Terdahulu, baginda mendengar taklimat perancangan latihan dan aktiviti disampaikan Timbalan Komander rejimen itu, Left Kolonel Zulfakar Abdul Wahid.

Rejimen 504 Askar Wataniah kini mempunyai kekuatan sebanyak 249 pegawai dan 1,186 anggota pangkat lain-lain serta sukarelawan dan sukarelawati. BERNAMA

Artikel Lain