Abu Hassan Dilantik Pengerusi Majlis MQA

KUALA LUMPUR: Tan Sri Profesor Emeritus Abu Hassan Othman telah dilantik sebagai Pengerusi Majlis Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) bagi sesi 2013-2015.

Beliau menggantikan Tan Sri Dr. Mohamed Salleh Mohamed Yasin yang menamatkan perkhidmatan pada Disember tahun lepas.

MQA dalam satu kenyataan pada Selasa berkata, surat pelantikan telah disampaikan oleh Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin di Putrajaya pada Selasa.

Mohamed Khaled turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Mohamed Salleh dan tujuh anggota Majlis MQA sesi 2009-2012 atas sumbangan dan usaha mereka dalam membantu agensi itu memperkasa kualiti pendidikan tinggi negara.

Abu Hassan mempunyai rekod kerjaya yang panjang di Institusi Pengajian Tinggi Awam termasuk pernah memegang jawatan sebagai Timbalan Naib Canselor di Universiti Kebangsaan Malaysia dan Naib Canselor Universiti Malaysia Sabah (UMS).

"Beliau juga pernah memegang jawatan sebagai Ketua Pegawai Eksekutif merangkap Naib Canselor Berjaya University College of Hospitality dan pada ketika ini merupakan Pengerusi Lembaga Pengurusan Kolej Antarabangsa Pengurusan Hotel YTL," kata kenyataan itu.

Pemegang ijazah kedoktoran dalam bidang sosiologi dari Universiti Michigan State, Amerika Syarikat itu juga pernah menjadi Pengerusi Majlis Peperiksaan Malaysia selain berkhidmat di peringkat antarabangsa sebagai pengerusi bersama Jawatankuasa Naib Canselor Malaysia-Australia, Pengerusi 'University Mobility Asia Pacific' dan ahli Lembaga Persatuan Universiti-Universiti Komanwel.

Beliau telah menerima pelbagai pengiktirafan atas jasanya dalam bidang akademik antaranya dilantik sebagai Profesor Emeritus oleh UMS, dianugerahkan Ijazah Kedoktoran Kehormat dalam bidang pengurusan oleh Universiti Terbuka Malaysia dan bidang Sains Agrikultur oleh Universiti Kinki, Jepun.

MQA telah juga melantik tujuh ahli baru majlis dan melantik semula sembilan penyandang lama bagi sesi 2013-2015. - BERNAMA

Artikel Berikut

Anwar Menang Kes Saman Fitnah Utusan

Artikel Lain