suria

Inspektor Dan Sarjan Polis Didakwa Tuduhan Rasuah

SUNGAI PETANI: Seorang pegawai polis berpangkat Inspektor dan seorang Sarjan didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini terhadap pertuduhan menerima rasuah daripada seorang kontraktor pada 2011.

Inspektor Syed Othman Konchong, 49, yang bertugas di bahagian pengurusan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Yan dan Sarjan Abd Hamid Saad, 53, (bahagian Gerakan IPD Yan) yang dihadapkan berasingan, mengaku tidak bersalah dan meminta dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan kepada mereka.

Syed Othman yang menghadapi dua pertuduhan iaitu bagi tuduhan pertama, dia secara rasuah bersetuju menerima suapan wang tunai RM1,700 kononnya untuk ketuanya daripada kontraktor Fauzanudin Arafadin melalui panggilan telefon 3.15 petang, 14 Julai 2011.

Dia didakwa mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (SPRM) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta sama.

Bagi tuduhan kedua, dia didakwa meminta RM2,000 daripada Fauzanudin pada 6 petang di tapak pembinaan Klinik Kesihatan Teroi, Yan pada 20 Jun 2011 dan didakwa mengikut Seksyen 16(a)(B) akta SPRM 2009 yang boleh dihukum mengikut akta sama.

Hukuman bagi kesalahan kedua-dua seksyen tersebut ialah penjara tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan.

Kedua-dua suapan itu sebagai dorongan supaya tertuduh tidak mengambil tindakan kerana kontraktor itu menggaji pekerja asing tanpa permit.

Hakim Khalid Ab Karim membenarkan tertuduh yang diwakili peguam T.Jayaraj diikat jamin RM2,000 bagi setiap pertuduhan dengan seorang penjamin.

Di Mahkamah Sesyen berasingan, Sarjan Abd Hamid dituduh menerima wang tunai RM1,700 daripada Fauzanudin bagi pihak tertuduh pertama, sebagai dorongan tidak mengambil tindakan menggaji pekerja asing tanpa permit di tapak pembinaan Klinik Kesihatan Teroi.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di tapak pembinaan klinik berkenaan pada 4.30 petang, 14 Julai 2011 dan didakwa mengikut Seksyen 16(a)(B) akta SPRM 2009 yang boleh dihukum mengikut akta sama.

Hakim Ikmal Hishan Mohd Tajuddin membenarkan tertuduh yang tidak diwakili peguam diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin.

Sebutan semula kedua-dua kes ditetapkan 27 Februari depan dan pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya SPRM Fieza Fazlin Fandi. BERNAMA

Artikel Lain