suria

Seorang Samseng Besut Di Berkas

KUALA TERENGGANU: Polis awal pagi Ahad menahan seorang samseng yang terlibat dalam beberapa kes jenayah kekerasan di Besut.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri ACP K. Manoharan berkata suspek berusia 34 tahun itu ditahan kira-kira pukul 4.30 pagi di kediaman mertuanya di Kampung Kuala Besut, Besut di sini.

Katanya suspek dikehendaki kerana terlibat dalam kes mengugut serta memukul seorang guru sehingga mendatangkan kecederaan pada Ogos lalu.

"Suspek merupakan antara tiga beradik yang kita jejaki bagi membantu siasatan seorang lelaki diserang selepas mangsa menegur dan menampar kanak-kanak yang membuat bising dalam masjid kayu di Besut," katanya kepada pemberita di sini.

Manoharan berkata polis sedang giat memburu dua lagi adik beradik suspek itu.

Dalam pada itu satu pasukan khas telah ditubuhkan bagi mengesan lima lagi samseng yang terlibat dalam empat kes serangan di Besut sejak Julai lepas. Suspek yang diburu itu termasuk seorang kontraktor kerana terlibat dalam serangan ke atas seorang guru lelaki berusia 35 tahun, Selasa lalu.

Dalam serangan di hadapan Maktab Perguruan Sultan Mizan Besut itu, guru tersebut cedera di belakang badan, tangan kanan dan kaki kiri akibat ditetak dengan parang oleh dua lelaki bertopeng dipercayai kerana cemburu. -BERNAMA

Artikel Lain