suria

Pekerja Binaan Maut Tersepit Di Projek Landasan LRT

KUALA LUMPUR: Seorang pekerja binaan maut selepas tersepit antara tiang dan palang pelancar 'Galang Segmen Kekotak' di landasan Transit Aliran Ringan (LRT) yang sedang dibina di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Taman Muhibbah, Puchong dekat sini, Khamis.

Mohammad Hanafi Abdullah, 23, yang berasal dari Kedah, disahkan meninggal dunia di Klinik 1Malaysia Kampung Muhibbah pada pukul 1.28 petang.

Pengurus Pembinaan Bina Puri-Tim Sekata JV, Kenny Tiew berkata kejadian pada pukul 11.20 pagi itu berlaku ketika Mohammad Hanafi, yang merupakan pekerja sub kontraktor dan beberapa pekerja lain sedang bekerja di landasan itu.

"Selepas mangsa tersepit, pekerja lain segera menghubungi pihak bomba dan dia dapat dibawa turun dari landasan LRT.

"Pegawai perubatan terus memberi bantuan pernafasan sehingga mangsa sedar. Selepas itu dia muntah tetapi pengsan semula," katanya ketika dihubungi Bernama di sini, Khamis.

Tiew berkata selepas itu, mangsa dibawa ke Klinik 1Malaysia di Kampung Muhibah sebelum disahkan meninggal dunia kerana mengalami kecederaan dalaman.

Beliau berkata ekoran kejadian itu kerja-kerja pembinaan di kawasan itu dihentikan sementara untuk siasatan oleh Jabatan Kesihatan dan Keselamatan Pekerja.-- BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain