suria

Warga Iran Maut Ditikam

KUALA LUMPUR: Seorang lelaki rakyat Iran maut ditikam dalam satu pergaduhan membabitkan dua kumpulan warganegara sama di hadapan pusat hiburan di Jalan P.Ramlee di sini, awal pagi Sabtu.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi ACP Zainuddin Ahmad berkata kejadian berlaku pukul 2.38 pagi menyebabkan Farhad Sandiani, 32, mati selepas ditikam di bahagian dada sebelah kiri.

"Mangsa disahkan meninggal dunia pukul 3.05 pagi di Hospital Kuala Lumpur," katanya dalam sistem pesanan ringkas kepada Bernama di sini.

Zainuddin berkata siasatan polis kemudian membawa kepada penangkapan seorang lelaki Iran berumur 40 tahun yang dipercayai terbabit dalam pergaduhan itu.

"Suspek sebelum itu dikatakan menaiki sebuah kereta jenis Perodua Alza berwarna putih sebelum bergaduh dan menikam mangsa. Dia kemudian melarikan diri dengan keretanya," kata Zainuddin.

Beliau berkata polis yang berjaya menahan kereta suspek menemui sebilah parang dan pisau lipat dalam kenderaan tersebut.

"Suspek juga cedera di kepala dan muka akibat dipukul dalam pergaduhan itu. Dia juga mendakwa dompetnya dirampas. Usaha mengesan saki baki kedua-dua anggota kumpulan itu giat dijalankan," katanya bahawa kes itu disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Artikel Lain