suria

Ahli PAS Gesa Keluar Pakatan Pembangkang

KEPALA BATAS: Beberapa ahli PAS Pulau Pinang menggesa kepimpinan tertinggi parti itu untuk membawa PAS keluar daripada pakatan pembangkang.

Bekas Setiausaha PAS negeri, Mohamed Nordin Mohd Nor berkata impian pakatan pembangkang untuk menakluk Putrajaya menyebabkan PAS semakin jauh daripada matlamat asal dengan membelakangkan perjuangan parti demi memenuhi kehendak sekutunya.

Beliau berkata kepimpinan tertinggi parti seolah-olah tidak mengambil berat dengan situasi semasa apabila mereka hanya berdiam diri dan membenarkan rakan sekutunya iaitu DAP mempertikai Islam dan ajarannya.

"Kami dari akar undi. Kami bukan pemimpin atasan daripada parti. Kami semua ahli biasa. Kami nampak perkara ini (pertikaikan Islam) sedang makan di dalam.

"Bila dia makan di dalam, dia akan cetus satu perkara yang tidak baik. Kami harap benda ini tidak akan berlaku. Kami harap Karpal Singh dan DAP berhentikan ungkapan yang menyentuh perasaan dan hati umat Islam," katanya dalam sidang media khas menyatakan sokongan kepada kenyataan bekas Timbalan Presiden PAS Nasharuddin Mat Isa di sini, Jumaat.

Semalam, Nasharuddin dalam satu kenyataannya di sebuah blog, menggesa PAS untuk meletakkan perpaduan ummah sebagai asas perjuangannya, tanpa menyifatkan perjuangan itu sebagai terperangkap dalam agenda permainan musuh politik PAS iaitu Umno.

Mengulas lanjut, Mohamed Nordin berkata tindakan kepimpinan tertinggi PAS yang seakan pasif dalam menangani isu tersebut menyebabkan anggota di akar umbi mula mempersoalkan rasional penglibatan parti itu dalam pakatan pembangkang.

Beliau berkata sekiranya DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) masih tidak memahami perjuangan PAS maka adalah wajar untuk parti itu meninggalkan pakatan pembangkang.

Katanya PAS mampu untuk menjadi sebuah parti yang dominan dengan berteraskan kepada perjuangan Islam meskipun tanpa mengadakan sebarang jalinan kerjasama dengan DAP mahupun PKR.

Mohamed Nordin juga menyifatkan kepimpinan tertinggi PAS seakan mula meminggirkan kepimpinan ulama bagi mencapai matlamat ke Putrajaya.

"Kami dididik untuk memperjuangkan Islam dalam agenda politik kami tetapi pemimpin yang mendidik kami kini menggadai apa yang telah disampaikan demi untuk mengejar kuasa dalam pilihan raya," katanya. BERNAMA

Artikel Sebelum

Warga Iran Maut Ditikam

Artikel Berikut

Artikel Lain