suria

Pampasan Dua Peratus Kepada Pembayar Cukai Lewat Terima Bayaran Balik

PETALING JAYA: Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) akan membayar pampasan sebanyak dua peratus kepada mereka yang terlebih membayar cukai pendapatan dan lewat menerima pembayaran balik.

Walau bagaimanapun, bayaran pampasan boleh dinafikan jika LHDN mempunyai sebab kukuh terhadap kelewatan seperti kesukaran memproses penyata cukai yang tidak lengkap atau tidak disokong.

"Pampasan ini untuk berlaku adil kepada pembayar cukai dan meningkatkan kecekapan dalam pentadbiran cukai," kata Ketua Pegawai Eksekutif LHDN Tan Sri Dr Shukor Mahfar.

"Mereka yang memfailkan pulangan cukai pendapatan mereka sebelum tarikh akhir adalah layak untuk mendapat pampasan," katanya.

Tarikh akhir bagi individu bergaji memfailkan penyata cukai adalah pada 30 April manakala tarikh akhir untuk mereka yang memperoleh berpendapatan melalui perniagaan ialah pada 30 Jun.

Syarikat-syarikat mestilah memfailkan pengembalian cukai pendapatan mereka tidak lewat daripada tujuh bulan dari tamat tempoh perakaunan mereka.

Dr Shukor menambah: "Pampasan dua peratus dikira mengikut hari, 90 hari selepas tarikh akhir pembayaran untuk e-Filing atau 120 hari selepas tarikh menfailkan cukai secara manual."

Difahamkan terdapat pembayar cukai yang menerima bayaran balik cukai mereka lewat tiga tahun.

Artikel Lain