suria

Kes Bunuh Stephanie Foray: Mustahil Si Mati Jerut Lehernya Sendiri - Pakar Forensik

KUANTAN: Mahkamah Tinggi di sini Selasa diberitahu bahawa kematian pelancong wanita Perancis, Stephanie Foray di Pulau Tioman tahun lepas bukan akibat dia menjerut lehernya sendiri.

Pakar Forensik Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), Dr Sri Marni Zainal Abidin berkata demikian ketika disoal semula oleh Timbalan Pendakwa Raya, Salim Soib @ Hamid sama ada kecederaan di leher si mati berpunca atas tindakannya sendiri.

Dr Sri Marni berkata, ia adalah mustahil walaupun kemungkinan tersebut wujud ekoran terdapat tuala yang ditemui di sekeliling leher si mati ketika beliau melakukan bedah siasat ke atas jasad si mati.

"Walaupun ada kemungkinan, pada pendapat saya rasa agak sukar untuk si mati melakukannya (menjerut leher dengan tuala) sendiri berikutan ketika bedah siasat dilakukan saya mendapati simpulan tuala di leher si mati terletak di bahagian belakang," katanya.

Dr Sri Marni, saksi ke-11 pihak pendakwaan dalam kes pembunuhan Foray itu menyambung keterangan pada hari ke-17 perbicaraan ke atas Asni Omar, 37, yang didakwa membunuh Foray di rumah tidak bernombor di Kampung Tekek, Pulau Tioman, Rompin antara 8 malam, 10 Mei dan 12 tengah hari, 12 Mei tahun lepas.

Beliau juga ketika memberi keterangan turut mengulangi pendapatnya sebelum ini bahawa empat keretakan yang berlaku di bahagian kepala si mati boleh menjadi penyebab kematian, tanpa penyakit signifikan lain seperti sakit jantung atau strok.

"Tiga keretakan di tepi kanan kepala sahaja boleh menyebabkan kecederaan dalaman kepala, kulit, tisu dan organ dalaman termasuk otak. Ia juga boleh menyebabkan kecederaan pada rongga mulut, tisu, kulit dan organ persekitaran yang boleh menjejaskan ruang pernafasan," katanya.

Peguam bela, Muhammad Hisham Abdul Rahim kemudian menyoal Dr Sri Marni sama ada si mati menjadi mangsa keganasan seksual berikutan pakar tersebut ada mengambil sampel di bahagian kemaluan si mati.

Dr Sri Marni berkata, ia penting bagi memastikan sama ada serangan tersebut betul-betul berlaku terutama jika si mati adalah wanita.

Beliau turut menyangkal pendapat Muhammad Hisham yang mengatakan pengambilan tisu daripada bahagian organ reproduktif si mati adalah tidak perlu memandangkan jasad si mati sudah mereput.

"Saya tidak setuju. Ini kerana semua organ reproduktif yang saya maksudkan mereput adalah di bahagian dalaman seperti rahim dan ovari manakala kemaluan adalah organ di bahagian luaran atau 'perineum'," katanya.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Mariana Yahya bersambung pada Rabu. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain