suria

Setiap Pemimpin Ada Cara Tersendiri - Tun Abdullah

KUALA LUMPUR: Bekas perdana menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi berkata setiap pemimpin mempunyai cara tersendiri mentadbir negara dan oleh itu tidak wujud soal beliau menamatkan 'Mahathirisme' kerana apa yang lebih penting adalah untuk mencapai matlamat Wawasan 2020.

Katanya, beliau tidak pernah melupakan dasar Wawasan 2020 yang diilhamkan oleh perdana menteri sebelumnya Tun Dr Mahathir Mohamad.

"Saya sentiasa sebut bahawa matlamat yang perlu kita capai ialah visi Wawasan 2020. Itulah yang awal-awal saya cakap dan saya tak pernah lupa.

"Semasa zaman selepas merdeka dulu, kita utamakan perpaduan tapi pada masa saya kita bina modal insan," katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan sambutan 20 Tahun Penubuhan Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) di sini Selasa.

Abdullah juga berkata beliau sendiri tidak memahami erti 'Mahathirisme' seperti yang didakwa oleh Penasihat DAP Lim Kit Siang baru-baru ini.

Abdullah mengulas kenyataan Dr Mahathir pada Isnin mengenai 'Mahathirisme' yang didakwa mati selepas beliau mengambil alih pentadbiran pada 2003.

Abdullah berkata bagi memastikan visi 2020 itu berjaya, beliau telah memperkenal beberapa misi baru termasuk aspek pemantapan modal insan.

Ditanya mengenai hubungannya dengan Dr Mahathir, beliau yang juga Pengerusi IKIM itu berkata hubungannya dengan Dr Mahathir baik walaupun kadang-kala mempunyai perbezaan pendapat.

Terdahulu, Abdullah dalam ucapannya berkata pelajar tanpa mengira Islam atau bukan Islam harus diberi peluang untuk mengikuti sukatan pelajaran yang sama supaya dapat membentuk masyarakat yang saling memahami.

Beliau berkata satu penyelesaian perlu dicapai sekiranya masyarakat Islam dan bukan Islam ingin maju bersama-sama.

"Kita mahu semua masyarakat terima panduan yang sama tanpa apa-apa perasaan atau perkara-perkara yang boleh menyusahkan mereka kerana beragama lain," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain