suria

Exco Arah Peraturan Tak Benarkan Bukan Muhrim Tengok Wayang Berdua-duaan Di Kuala S'gor Dibekukan Sementara

SHAH ALAM: Peraturan baru yang tidak membenarkan pasangan bukan muhrim duduk berdua-duaan di dalam panggung wayang oleh Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS) telah dibekukan buat sementara waktu.

Exco Negeri Selangor, Ronnie Liu berkata, keputusan untuk menguatkuasakan peraturan baru itu oleh pihak berkuasa tempatan itu telah dilakukan tanpa terlebih dahulu merujuk kepada kerajaan negeri.

Malah katanya, keputusan itu tidak konsisten dengan peraturan yang sedia ada di seluruh majlis daerah dan pihak berkuasa yang lain di negeri Selangor.

“Saya sendiri pun hanya mengetahui mengenai perkara ini melalui laporan media massa dan perlulah saya nyatakan di sini, tidak ada mana-mana pihak berkuasa tempatan yang memperkenalkan peraturan baru ini di negeri Selangor.

"Jadi saya akan mengarahkan Yang Dipertua MDKS untuk menangguhkan peraturan baru itu dan membentangkannya pada mesyuarat majlis penuh untuk dinilai semula,” katanya dalam satu sidang akhbar, Selasa.

Liu, turut menegaskan bahawa pendirian kerajaan negeri ialah tidak akan membenarkan polisi “double standard” berlaku dan diamalkan oleh mana-mana pihak berkuasa tempatan.

“Jika sesebuah polisi itu baik dan membaw faedah kepada semua, ia akan dilaksanakan secara menyeluruh di semua kerajaan tempatan, bukannya secara terpencik,” ujar beliau.

Ditanya apakah peraturan baru pawagam itu telah diluluskan oleh mesyuarat penuh ahli majlis MDKS, Liu menjawab: “Nampaknya begitulah dan sebab itulah kerajaan negeri telah meminta supaya mereka mengkaji semula keputusan itu.

Sebuah akhbar berbahasa Cina telah melaporkan bahawa Pawagam Lotus Five Star, yang merupakan satu-satunya panggung wayang di Kuala Selangor telah menaikkan notis mengingatkan orang ramai mengenai peraturan baru itu.

Adalah difahamkan keputusan itu telah dibuat ahli-ahli majlis MDKS pada Mei lalu.

Peraturan baru itu menetapkan pawagam di daerah berkenaan mestilah meletakkan notis yang mengingatkan orang ramai bahawa pasangan Islam yang tidak berkahwin tidak dibenarkan memasuki pawagam dan menonton wayang berdua-duaan.

Pengendali pawagam yang gagal mematuhi arahan tersebut berhadapan dengan kemungkinan lesen mereka akan ditarik balik oleh pihak berkuasa tempatan.

Dalam pada itu ahli majlis MDKS, P. Thirumoorthy ketika dihubungi berkata, cadangan ke atas peraturan baru itu telah dibentangkan oleh ahli majlis yang diwakili PAS.

“Wakil PAS dalam MDKS telah mengemukakan cadangan tersebut tahun lalu ketika proses untuk meluluskan lesen pawagam berkenaan dipertimbangkan," katanya.

Artikel Lain