suria

Isytihar Ahli Keluarga Mohon Kemudahan Kerajaan - SPRM

PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mencadangkan agar setiap anggota pentadbiran seperti menteri, timbalan menteri, setiausaha parlimen dan setiausaha politik mengisytiharkan ahli keluarga terdekat yang memohon kemudahan kerajaan, termasuk pinjaman mudah.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM, Datuk Sutinah Sutan berkata pengisytiharan sebegini dapat meningkatkan ketelusan, akauntabiliti dan mengelak berlakunya penyelewengan dan salah guna kuasa.

"SPRM mencadangkan kepada Kementerian Kewangan agar memasukkan klausa ini supaya setiap anggota pentadbiran mengisytiharkan sekiranya mana-mana ahli keluarga memohon sebarang kemudahan daripada kerajaan," katanya pada sidang media di sini, Jumaat.

Sutinah berkata cadangan itu merupakan satu daripada tujuh cadangan yang dikemukakan SPRM kepada Kementerian Kewangan pada April lepas untuk menambah baik sistem dan prosedur pemberian pinjaman mudah.

Beliau berkata cadangan yang dikemukakan adalah berdasarkan kelemahan yang timbul berikutan isu National Feedlot Corporation Sdn Bhd (NFC) setelah menjalankan pemeriksaan ke atas amalan, sistem dan prosedur pemberian pinjaman mudah ke atas projek NFC.

Katanya pemeriksaan melibatkan agensi seperti Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Kementerian Kewangan, Menteri Besar Diperbadankan (MBI), dan National Feedlot Corporation Sdn Bhd.

"Hasil pemeriksaan dibentangkan kepada Panel Penasihat Perundingan dan Pencegahan Rasuah (PPPR) dan khidmat nasihat diberikan kepada Kementerian Kewangan, supaya langkah diambil untuk memperketat dan menambah baik sistem serta prosedur kerja mengenai pemberian pinjaman mudah.

"SPRM percaya Kementerian Kewangan telah mengambil langkah sewajarnya untuk memperketat sistem dan prosedur untuk menambahbaik supaya isu seperti ini tidak berulang," katanya.

Selain pengisytiharan, Sutinah berkata SPRM juga mencadangkan Kementerian Kewangan menyediakan tatacara standard yang lebih jelas dan telus berhubung proses pinjaman mudah, agar tiada ruang untuk penyelewengan.

Beliau berkata Kementerian Pertanian dan Asas Tani perlu membuat dua penelitian terlebih dahulu untuk mengetahui latar belakang syarikat dan kemampuan syarikat sebelum memutuskan pemberian projek.

Selain itu, beliau berkata kajian terperinci termasuk penilaian dan pengurusan risiko terhadap sesebuah projek perlu dibuat, bagi mengelak sebarang kesulitan semasa pelaksanaan projek.

"Penyelarasan perlu dibuat oleh agensi pelaksana memandangkan projek ini melibatkan pelbagai agensi bagi memastikan kelicinan pelaksanaan projek dan pemantauan ke atas status pembangunan projek," katanya.

Sutinah berkata SPRM mencadangkan agar terma rujukan yang jelas disediakan ke atas Ahli Lembaga Pengarah agar setiap anggota dapat memainkan peranan lebih berkesan.

Beliau berkata syarat pinjaman perlu diperketat untuk meningkatkan akauntabiliti dan menutup ruang dan peluang rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa.

NFC ialah projek "Lembah Daging" di Gemas, Negeri Sembilan yang bertujuan meningkatkan pengeluaran daging tempatan dan mengurangkan pergantungan negara terhadap daging import.

NFC yang diterajui Datuk Seri Mohamed Salleh Ismail, suami bekas Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil, menjadi isu panas apabila pembangkang mendakwa wujud penyelewengan terhadap peruntukan kerajaan berjumlah RM250 juta yang disalurkan.

Semalam, SPRM mengumumkan bahawa Shahrizat tidak terbabit dalam proses perolehan pinjaman RM250 juta daripada kerajaan persekutuan kepada NFC yang dimiliki suami dan anaknya. BERNAMA

Artikel Lain