suria

Kuantan Bakal Jadi Taman Perindustrian Sekutu Dengan China - PM

KUANTAN: Kuantan dikenal pasti sebagai lokasi sesuai dijadikan taman perindustrian sekutu antara Malaysia dan China, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak.

Beliau berkata, langkah itu sebagai timbal balik usaha republik berkenaan yang menyediakan tanah seluas 55 kilometer persegi di Qinzhou, Nanning sebagai Taman Perindustrian Qinzhou, projek usaha sama China dan Malaysia.

"Kuantan dilihat sebagai titik yang terdekat dengan Nanning dan untuk itu saya telah memohon kepada kerajaan negeri Pahang supaya menyediakan tanah seluas 1,500 ekar (600 hektar) untuk China bagi melaksanakan Taman Perindustrian Bersekutu) di sini," katanya.

Perdana Menteri berkata demikian ketika berucap pada program bersantai bersama rakyat, di Taman Gelora di sini, yang turut dihadiri isteri beliau Datin Seri Rosmah Mansor, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, Menteri Besar Datuk Seri Adnan Yaakob serta beberapa Menteri Kabinet yang lain.

Najib berkata, pada masa ini kerajaan sedang meneliti secara mendalam pelaksanaan projek itu, termasuk sesi perjumpaan yang telah diadakan bersama pelabur China.

"Bagi sedikit masa lagi untuk kita muktamadkan perkara ini, dan sekiranya ia dapat dilaksanakan kelak, tahap pelaburan di Kuantan, pasti akan dapat kita capai pada tahap lebih tinggi lagi," katanya.

Bulan lepas, Najib menyaksikan pemeteraian memorandum persefahaman usaha sama antara dua syarikat Malaysia - Rimbunan Hijau Group dan SP Setia Berhad dengan dua syarikat China, Chian Guangxi Beibu Gulf International Port Group dan Qinzhou Jingu Investment Company, di Nanning bagi menjayakan projek Taman Perindustrian Qinzhou.

Taman perindustrian di kawasan seluas 55km persegi dekat Pelabuhan Bebas Qinzhou dan menghadap Teluk Beibu itu akan dibangunkan menerusi tiga fasa selama 15 tahun.

Pelabuhan Qinzhou merupakan pelabuhan di China yang terletak paling dekat dengan negara anggota Asean.

Terdahulu, Najib meluangkan masa kira-kira dua jam beramah mesra dengan pengunjung serta melawat gerai-gerai yang menyediakan makanan tradisional Pahang secara percuma kepada pengunjung seperti patin tempoyak, sambal hitam Lipis dan lemang periuk kera serta kraftangan Pahang.

Hujan lebat sejak 8.30 pagi tidak menghalang kira-kira 15,000 orang memenuhi kawasan rekreasi terkenal itu.

Najib berkata, program santai bersama rakyat seumpama itu sangat penting dalam mendekatkan para pemimpin dengan rakyat, sekaligus suara rakyat dapat didengar.

Menurutnya, pemilihan Taman Gelora sebagai lokasi majlis itu sangat signifikan dengan program berkenaan memandangkan kawasan riadah itu merupakan tumpuan orang ramai, khususnya warga Kuantan, melakukan aktiviti santai pada hujung minggu dan hari biasa. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain