suria

LHDN Dan JPM Semak Senarai Penerima e-Kasih Yang Belum Terima BR1M

IPOH: Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dengan kerjasama Jabatan Perdana Menteri (JPM) sedang menyemak senarai penerima e-Kasih yang masih belum menerima Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) bagi membolehkan mereka mendapat bantuan itu.

Menteri Kewangan Kedua Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah berkata, semakan itu dilakukan berikutan terdapat penerima e-Kasih yang turut membuat permohonan mendapatkan BR1M walaupun mereka layak secara automatik.

"Semakan dan pemurnian senarai ini perlu bagi memastikan kesemua mereka menerima bantuan sebanyak RM500 ini...perkara ini timbul kerana ada di kalangan individu di dalam senarai ini turut mengisi borang dan telahpun menerima bantuan,' katanya.

Sehingga 17 April, seramai 4,327,818 pemohon termasuk 282,605 yang membuat rayuan telah menerima bantuan itu, katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran Pusat Bergerak Barisan Nasional Parlimen Tambun di Taman Meru 1B di sini, Ahad.

Ahmad Husni juga menasihatkan pemohon yang permohonan mereka ditolak supaya segera membuat rayuan berikutan tempoh rayuan akan tamat pada 30 April ini selepas dilanjutkan beberapa kali.

Beliau berkata ini bagi memastikan pemohon yang benar-benar layak tidak terlepas daripada menerima bantuan wang tunai RM500 itu. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain