suria

Dua Pegawai Penyiaran Dihadap Ke Mahkamah Atas Tuduhan Salah Guna Harta

KUALA TERENGGANU: Dua pegawai jabatan penyiaran pada Isnin mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini terhadap tuduhan menyalahgunakan harta pada 2010.

Tertuduh Dr Nawiyah Che Lah, 56, dan Noor Asmihan Mansor, 52, didakwa bersama-sama menyalahgunakan harta iaitu wang tunai RM2,250 yang diterima daripada Majlis Sukan Negeri Terengganu.

Ketika kejadian itu, Nawiyah bertugas sebagai pengarah Jabatan Penyiaran Negeri Terengganu manakala Noor Asmihan merupakan ketua bahagian rancangan, Jabatan Penyiaran Negeri Terengganu.

Wang tunai yang diterima kedua-dua tertuduh itu kononnya berkaitan dengan penyediaan perkhidmatan membuka mini studio serta membuat hebahan pada 14-15 Oktober 2010 sempena Program Bulan Petani, Penternak dan Nelayan di Padang Bola Tersat, Hulu Terengganu.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di Jabatan Penyiaran Negeri Terengganu, di sini antara bulan Oktober hingga Disember 2010.

Mereka dituduh mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun yang sama yang membawa hukuman penjara tidak kurang dari enam bulan dan tidak lebih dari lima tahun serta sebat dan denda.

Hakim, Datuk Zainal Abidin Kamaruddin membenarkan kedua-dua tertuduh masing-masing diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 17 Mei untuk sebutan semula kes.

Mereka juga dikenakan syarat tambahan iaitu perlu melapor diri di Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berdekatan.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Firdaus Abu Hanipah sementara kedua-dua tertuduh diwakili peguam Mohd Anuari Mohd. - BERNAMA

Artikel Lain