suria

Hampir 12,000 Guna Khidmat Klinik Cure & Care 1Malaysia Untuk Pemulihan Dadah

ALOR GAJAH: Seramai 11,779 orang menggunakan khidmat Klinik Cure and Care 1Malaysia melalui program rawatan dan pemulihan dadah sehingga 31 Januari 2012 sejak ia diperkenalkan pada 17 Julai 2010.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Wira Abu Seman Yusop berkata bilangan penagih yang terlibat kebanyakannya adalah daripada golongan muda berumur antara 14 hingga 20 tahun iaitu 67.14 peratus atau 4,650 orang.

"Penagih yang berumur 20-24 tahun adalah sebanyak 25.79 peratus iaitu 1,786 orang, 25-29 tahun sebanyak 24.40 peratus iaitu 1,690 orang dan 30-34 tahun sebanyak 16.95 peratus iaitu 1,174 orang," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Sukarelawan Anti Dadah 1Malaysia (Skuad 1Malaysia) di sini, Ahad.

Kata Abu Seman, jumlah Skuad 1Malaysia di negeri ini adalah 11,205 orang iaitu 1,411 orang di Alor Gajah, Jasin (1,528) dan Melaka Tengah (8,266).

Beliau berkata ia merupakan satu kejayaan dalam menggerakkan gelombang sukarelawan dalam usaha memerangi penyalahgunaan dadah serta mempertingkatkan keberkesanan pemulihan.

"Skuad 1Malaysia ini akan turut sama membantu usaha dan gerak kerja, pendidikan dan pencegahan, rawatan dan pemulihan serta penguatkuasaan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) atau menjadi sukarelawan anti dadah berdasarkan kepakaran masing-masing," katanya.

Sementara itu, kata Abu Seman, jumlah penagih pada tahun 2011 menunjukkan penurunan iaitu 11,194 berbanding 23,000 pada tahun 2010.

"Bagi jumlah tersebut, penagih baru dikesan adalah seramai 6,956 orang dengan peratusan 62.14 peratus dan bagi penagih berulang adalah seramai 4,238 orang dengan peratusan 37.86 peratus," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain