suria

Jawatankuasa Khas Bagi Pantau Pembelian Aset Kementerian Dicadang Ditubuhkan

KUALA LUMPUR: Sebuah jawatankuasa khas bagi memantau perolehan setiap kementerian dicadang ditubuhkan bagi mengelakkan kekeliruan pelbagai pihak yang berkepentingan termasuk rakyat.

Cadangan itu terhasil dalam satu pertemuan antara Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan wakil rakyat dari Majlis Ahli Parlimen Barisan Nasional Malaysia (BNBBC) serta pembangkang, di sini Khamis.

Perkara ini akan dibincangkan secara teliti oleh kedua-dua pihak kerajaan dan pembangkang sebelum dibentangkan di Parlimen, kata Ahmad Zahid kepada pemberita, selepas pertemuan lebih dua jam itu.

"...jika Parlimen memutuskan jawatankuasa yang akan dinamakan Jawatankuasa Khas Pemantau Perolehan oleh Kementerian-kementerian itu perlu ditubuhkan, maka kami akan patuh," katanya.

BNBBC diwakili Timbalan Pengerusinya Datuk Bung Moktar Radin, Datuk Abdul Rahman Dahlan, Khairy Jamaluddin, Datuk Ahmad Hamzah dan P. Kamalanathan, manakala wakil pembangkang pula ialah Tony Pua, Dr Zulkifly Ahmad dan Datuk Saifuddin Nasution Ismail.

Pertemuan itu bagi merungkai permasalahan dan tuduhan pembangkang bahawa kos pembelian kapal tempur pesisir pantai (LCS) telah meningkat berbilion ringgit sebaik sahaja tender pembinaan enam LCS diberi kepada Boustead Naval Shipyard (BNS).

Mengulas isu itu, Ahmad Zahid berkata permohonan pembelian LCS telah dibuat pada 2008 yang mana harga siling ialah RM9 bilion dan daripada jumlah tersebut RM6 bilion digunakan dalam Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK10) dan RM3 bilion lagi pada RMK11.

"Berlaku kekeliruan apabila mereka menganggap RM6 bilion merupakan harga siling perolehan LCS tersebut walhal RM9 bilion telah ditetapkan pada 2008 dengan menggunakan bajet dalam RMK10 dan RMK11," katanya.

Justeru katanya, penjelasan yang diberikan di dalam pertemuan itu diharap dapat memuaskan hati pihak pembangkang dan tidak ada lagi isu pertahanan yang cuba dibangkitkan selepas ini.

Bagaimanapun kata Ahmad Zahid, pihaknya sentiasa bersedia untuk mengadakan perbincangan dengan mana-mana pihak yang memerlukan penjelasan berhubung sebarang isu membabitkan kementeriannya.

Sementara itu, Anggota Parlimen Petaling Jaya Utara dari DAP, Tony Pua berkata pihaknya tidak berniat mempertikaikan perolehan aset pertahanan, tetapi mahu memastikan pembelian tersebut munasabah dan berbaloi.

Anggota Parlimen Machang Saifuddin yang juga Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat pula berkata, menjadi tanggungjawab pembangkang untuk meneliti setiap perolehan aset yang dibuat setiap kementerian.

"Melalui Rancangan Malaysia ke-10, peruntukan bagi sektor keselamatan seperti Kementerian Dalam Negeri dan Kementerian Pertahanan berjumlah RM23 bilion. Ini yang memancing tumpuan dan minat kita (pembangkang) untuk bertanya lebih lanjut setiap perbelanjaan yang dilakukan," katanya.

Sementara itu, Bung Moktar yang juga Anggota Parlimen Kinabatangan berkata selaku rakyat, beliau memberi perhatian serius berhubung isu-isu berkaitan keselamatan.

Katanya soal keselamatan bukanlah satu isu yang boleh dikompromi dan dibawa ke ceramah sebaliknya perlu perbincangan secara serius dan bijaksana.

"Pertemuan ini sesuatu yang ditunggu-tunggu dan dengan adanya pertemuan seperti ini diharap tidak akan ada lagi ceramah yang mengheret isu-isu pertahanan negara," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain