suria

Abdul Khalid Ambil Alih Portfolio Hal Ehwal Islam Selangor

SHAH ALAM: Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim pada Rabu mengumumkan rombakan kecil portfolio Exco Kerajaan Negeri Selangor dengan beliau sendiri mengambil alih portfolio Pengerusi Hal Ehwal Islam, Infrastruktur dan Kemudahan Awam.

Rombakan itu dibuat berikutan pelantikan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sijangkang, Dr Ahmad Yunus Hairi sebagai Exco Kerajaan Negeri Selangor yang baru menggantikan Datuk Dr Hasan Mohamed Ali.

Manakala Dr Ahmad Yunus diberi tanggungjawab menerajui portfolio Adat Resam Melayu dan Belia dan Sukan.

"Rombakan yang berkuatkuasa hari ini dilakukan bagi memastikan kesinambungan kerja dan perkhidmatan kepada rakyat dapat berjalan dengan lancar.

"Tambahan pula Dr Ahmad Yunus sebelum ini adalah pembantu exco untuk portfolio Belia dan Sukan," katanya pada sidang media di Istana Bukit Kayangan di sini.

Hasan yang dipecat daripada PAS dua minggu lagu sebelum ini memegang jawatan Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Agama Islam, Adat-Adat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan Awam Selangor.

Ditanya mengenai keputusannya mengambil alih portfolio Hal Ehwal Islam dibuat kerana tidak mempercayai kredibiliti Dr Ahmad Yunus sebagai exco baru, Abdul Khalid berkata ia bagi memudahkan urusan pentadbiran.

"Seperti yang saya katakan, kita gunakan peluang ini untuk menyelesaikan isu pentadbiran. Saya berpendapat Dr Ahmad Yunus berpengalaman dalam portfolio Belia dan Sukan. oleh sebab itu beliau terus mengambil alih daripada saya, dia boleh terus jalankan tugas tersebut.

"Selain itu perkara ini akan memudahkan saya untuk menguruskan Majlis Agama Islam Selangor (Mais) dan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) serta melihat perkembangan mereka," katanya.

Selain itu Abdul Khalid berkata beliau akan melaksanakan tugas sebagai Pengerusi Hal Ehwal Agama dengan cara yang lebih berhemah dengan mengambil kira keadaan persekitaran.

"Usaha untuk mempertingkatkan agama Islam ialah usaha yang berterusan. Sebagai orang Islam itu adalah tanggungjawab. Saya dan rakan-rakan Adun yang beragama Islam akan menjalankan tugas.

"Tapi perjalanan tugas itu adalah berhemah dan mengambil kira persekiran. Tujuannya ialah untuk meningkatkan syariah Islam. Sebab untuk meningkatkan Islam ada adab dan cara.

"Saya akan belajar dan saya akan berbincang cara terbaik bagaimana untuk memerintah negeri ini tanpa hilang panduan tentang syariah Islam," katanya.

Bagi portfolio Hal Ehwal Islam, exco berkenaan perlu tegas mempertahankan agensi Islam Jais dalam memastikan umat Islam hidup sejahtera tanpa digugat dengan masalah moral seperti amalan minum arak, zina dan paling utama dijauhkan daripada gejala murtad.

Ketika Hasan menjadi exco, beliau pernah menegur Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kerajaan Tempatan, Kajian dan Penyelidikan negeri, Ronnie Liu daripada DAP sebagai tidak memahami Islam berhubung kes rampasan arak di sebuah pusat hiburan dan pekerja Muslim di premis menjual arak di Selangor.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain