Warga Indonesia Rentung Dalam Kebakaran Tujuh Kedai

KUALA LUMPUR: Seorang lelaki warga Indonesia rentung dalam satu kebakaran melibatkan tujuh buah kedai bangunan setingkat di Jalan 1 Taman Industri Bolton, Batu Caves, Selayang, dekat sini, Jumaat.

Penolong Pengarah Operasi Bomba dan Penyelamat Selangor, Mohd Sani Harul berkata dalam kejadian pada pukul 2.35 pagi, mangsa yang berumur 20 tahun itu dijumpai rentung di dalam bilik tidurnya di salah sebuah kedai yang terbakar itu.

"Kebakaran dipercayai bermula dari kedai perabot dan pihak bomba tiba 15 minit selepas kebakaran berlaku," katanya ketika dihubungi Bernama.

Beliau berkata pihaknya berjaya mengawal kebakaran sepenuhnya pada 3.34 pagi dengan kekuatan 22 anggota bomba dan tiga jentera, masing-masing dari Balai Bomba dan Penyelamat Selayang, Rawang, dan Sungai Buloh.

Beliau berkata punca kebakaran masih dalam siasatan dan anggaran kerugian kira-kira RM500,000.

Mohd Sani berkata mayat warga Indonesia berkenaan telah dihantar ke Hospital Kuala Lumpur untuk bedah siasat. - BERNAMA

Artikel Lain