suria

Terengganu Sokong Penubuhan Majlis Bahasa Inggeris

KUALA TERENGGANU: Terengganu menyokong penuh dan menyambut baik penubuhan Majlis Bahasa Inggeris tahun depan bagi mengkaji dan menambah baik sistem pengajaran, pembelajaran dan pencapaian Bahasa Inggeris di kalangan pelajar.

Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia Negeri Ahmad RAzif Abdul Rahman berkata, kebanyakan pelajar di Terengganu masih lemah dalam menguasai mata pelajaran Bahasa Inggeris.

"Ini mungkin disebabkan kekurangan tenaga pengajar yang mahir dalam bahasa itu menyebabkan ada pelajar kita yang tercicir pada mata pelajaran Bahasa Inggeris.

"Kita mahu lebih ramai guru-guru yang mahir dalam Bahasa Inggeris dihantar ke Terengganu bagi meningkatkan penguasaan pelajar," katanya kepada pemberita pada program pemimpin bersama masyarakat di 18 Rijmen Askar Melayu Diraja (18 RAMD) Kem Seri Pantai, Seberang Takir di sini pada Sabtu.

Semalam Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan akan menubuhkan Majlis Bahasa Inggeris bagi mengkaji kualiti dan standard sistem pengajar, pembelajaran serta pencapaian bahasa itu di kalangan pelajar.

Ahmad Razif berkata, bagi mengatasi masalah kelemahan Bahasa Inggeris di negeri itu, Terengganu meneruskan program pengambilan guru-guru pembantu Bahasa Inggeris dari Amerika Syarikat tahun depan. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain