suria

Perhimpunan Agung Umno: Wakil S'gor Gesa Tol Batu 3 Dimansuhkan

KUALA LUMPUR: Wakil Umno Selangor, Budiman Mohd Zohdi meminta kerajaan supaya mempertimbangkan cadangan untuk memansuhkan kutipan tol Batu Tiga di Lebuhraya Persekutuan yang dilihat untuk sekian lamanya membebankan pengguna.

Menurutnya, perkara itu perlu dipandang serius bagi membela nasib rakyat khususnya golongan berpendapatan rendah yang terpaksa berhadapan kos sara hidup yang tinggi.

"Rakyat khususnya yang tinggal di Shah Alam terpaksa membayar RM1.10 sehala di plaza tol itu untuk ke Kuala Lumpur. Jumlah itu akan berganda untuk perjalanan pergi balik...keadaan ini semestinya membebankan mereka," katanya ketika membahaskan usul ekonomi pada Perhimpunan Agung Umno di sini, Jumaat.

Terdahulu, Umno Shah Alam telah menyerahkan memorandum mengenai pemansuhan kutipan tol Batu Tiga dan Sungai Rasau sebelum perkara itu dibangkitkan semula pada sesi perbahasan, Jumaat.

Sementara itu, beliau turut memohon agar mahasiswa yang baru saja menamatkan pengajian diberikan RM300 sebagai persediaan dan modal untuk mereka sebelum mendapatkan pekerjaan.

Budiman juga menggesa semua ahli Umno supaya bersedia untuk membela nasib rakyat di Selangor dan mengambil alih negeri itu pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

"Rakyat perlu sedar bahawa setiap apa yang dijanjikan oleh pembangkang tidak ditunaikan dan bajet kerajaan negeri Selangor 2012 yang dibentangkan tidak masuk akal," katanya.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain