suria

Proton Keluarkan Model Sedan Mitsubishi Akhir Tahun

SUBANG JAYA: Proton Holdings Bhd menjangka dapat menandatangani perjanjian usaha sama dengan Mitsubishi Motors Corp untuk membuat model-model sedan Mitsubishi di kilangnya di Tanjung Malim menjelang akhir tahun ini.

Pengarah Urusan Kumpulannya, Datuk Seri Syed Zainal Abidin bin Syed Mohamed Tahir berkata, di bawah perjanjian itu, Mitsubishi akan mengeluarkan 60,000 unit sedan setahun yang bersamaan dengan 90 peratus kapasiti pengeluaran kilang itu.

"Sekarang ini kilang itu beroperasi pada kapasiti 56 hingga 58 peratus," katanya pada satu taklimat media selepas pengumuman keputusan suku kedua 2011 syarikat itu di sini, Selasa.

Syed Zainal Abidin berkata, di bawah memorandum persefahaman yang ditandatanganinya dengan firma kereta China, Hawtai Motor Group Ltd, Proton akan bertapak dengan lebih luas dalam pasaran China, di mana ia akan menjual empat model Proton di bawah lencana Hawtai.

Sementara itu, Proton mencatatkan keuntungan sebelum cukai yang lebih rendah sebanyak RM47.524 juta bagi enam bulan berakhir 30 Sept, 2011 berbanding RM185.914 juta yang dicatatkan dalam suku yang sama tahun lepas.

Mengenai prospek bagi tempoh enam bulan kedua, Syed Zainal Abidin berkata meskipun Persatuan Automotif Malaysia meramalkan arah aliran menyusut, namun Proton akan mengatasinya dengan pelancaran model Saga berwajah baharunya, Saga FLX Edisi Khas, pada Disember.

"2012 akan menjadi tahun yang menarik bagi kami dengan pengenalan empat model Exora Bold dan Exora Prime, Inspira R3 dan kereta sedan yang diberikan nama kod 'P3-21A' dan dijangka dilancarkan awal tahun depan," katanya.

Beliau berkata 'P3-21A' akan menjadi kereta global generasi baharu pertama yang dibina mengikut undang-undang dan peraturan global terbaru, yang merangkumi pelbagai parameter seperti standard pelepasan asap dan keselamatan.

"Sejajar dengan aspirasi untuk menjadi pembuat kereta global, kumpulan kereta elektrik Saga dan kenderaan elektrik lanjutan Exora yang kini digunakan oleh kerajaan juga dijangka dikeluarkan untuk tujuan komersial menjelang 2013," katanya. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

1,967 Mangsa Banjir Di Kelantan

Artikel Lain