suria

Dr Mazlan Teraju Hal Ehwal Angkasa Lepas PBB

NEW YORK: Datuk Dr Mazlan Othman, bekas ketua pengarah Agensi Angkasa Negara (Angkasa), yang kini bertugas di Vienna, Austria, di mana beliau mengetuai Pejabat PBB bagi Hal Ehwal Angkasa Lepas (UNOOSA).

Sebagai pengarah UNOOSA beliau menerajui program angkasa lepas badan dunia itu dan nampaknya menyerlah dalam tanggungjawabnya kerana pengetahuan beliau yang mendalam mengenai astrofizik.

Mazlan, yang seringkali mengunjungi ibu pejabat Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu di New York atas urusan rasmi kerana tanggungjawab pentingnya itu, membuka peluang kepada beliau untuk menemui ahli-ahli astrofizik terkemuka dunia.

"Ya, terdapat tanggungjawab besar dalam kerja seperti yang saya lakukan.

Bagaimanapun, ia juga satu bidang yang menguja dan mencabar selain penuh dengan peluang-peluang," katanya kepada Bernama.

Mereka di Barat mungkin mendapati adalah jarang untuk melihat seorang wanita Asia menerajui sebuah pertubuhan angkasa lepas yang lazimnya dianggap sebagai domain kaum lelaki.

Bagaimanapun, selepas sekali sahaja melihat kelayakan dan pencapaian wanita yang kecil molek ini sudah pasti mana-mana orang yang meraguinya akan berasa yakin yang wanita ini hebat dalam bidangnya.

MENERAJUI CABARAN ANGKASA LEPAS

Mazlan, yang pertama kali dilantik ke jawatan dalam UNOOSA pada 1999, kembali ke Malaysia pada 2002 untuk mengetuai Angkasa di mana beliau memainkan peranan penting dalam melancarkan Angkasawan Malaysia yang pertama ke ruang angkasa lepas Datuk Dr Sheikh Muszaphar Shukor pada 2007.

Beliau kembali ke jawatannya sebagai pengarah UNOOSA pada akhir 2007 dan sejak itu beliau mengendalikan isu-isu seperti kerjasama antarabangsa di ruang angkasa, penggunaan platform-platform jarak jauh di angkasa bagi pembangunan lestari, menyelaraskan undang-undang angkasa lepas antara negara-negara dan menangani risiko yang disebabkan oleh asteroid yang melepasi bumi pada jarak yang dekat.

Mazlan, walaupun lemah lembut sifatnya, tetap menerapkan nilai-nilai kepimpinan yang perlu dalam segala apa yang dilakukannya, menurut mereka yang berpeluang memerhatikannya dari dekat.

TUGAS YANG BUKAN MUDAH

Apa pula perasaan beliau dalam berkhidmat bersama-sama dengan PBB memandangkan cabaran dan desakan sukar yang pasti dihadapi oleh sesiapa sahaja memegang jawatan tinggi itu.

"Cabaran di PBB adalah ia satu forum multilateral, yang menangani isu global. Oleh itu, kata sepakat perlu dicapai di kalangan pelbagai pihak berkepentingan bersama latar belakang serta dengan harapan yang berlainan. Perlu ada keseimbangan antara pelbagai parameter seperti geografi, yang membangun dan maju, dan jantina," katanya. Apabila ditanya akan pendapatnya terhadap kehidupan - bukan sekadar tumbuh-tumbuhan tetapi juga hidupan seperti makhluk asing, Mazlan menjawab dengan berhati-hati: "Daripada sudut saintifik, kami tahu terdapat berbilion galaksi yang mengandungi bintang-bintang yang jumlahnya dalam trilion, dengan banyak daripadanya yang mempunyai planet.

"Oleh itu, walaupun kemungkinan untuk menemui kehidupan adalah sangat kecil, memandangkan bilangan besar bintang-bintang ini, kemungkinan itu pastinya bukan sifar. Apa yang kita perlu akui adalah 'kehidupan boleh datang dalam apa sahaja bentuk dan bukan sahaja dalam bentuk yang kita lihat di bumi."

Ditanya sama ada beliau pernah didatangi oleh saintis atau pakar lain yang mahu membincangkan dengan serius bersamanya akan kewujudan kehidupan di angkasa lepas, beliau menjawab: "Ya, sudah pasti. Terdapat pakar-pakar yang mengkaji astrobiologi... dalam lain kata, kehidupan di luar angkasa lepas, dan terdapat juga pakar-pakar yang mengkaji planet-planet, di luar sistem suria. Kesemua usaha ini merujuk kepada isu ini."

ANGKASA LEPAS, TIDAK DIAMBIL SERIUS

Mengenai cabaran spesifik serta peluang di jawatan semasanya, beliau mendedahkan bahawa ruang angkasa lepas masih tidak diambil kira dalam pelbagai aspek rundingan diplomatik dan perbahasan.

"Tugas saya ialah untuk membawa ke perhatian anggota PBB dan agensi-agensi badan dunia itu akan peranan penting yang dimainkan oleh angkasa lepas dalam membawa manfaat dan akibat yang mungkin timbul, jika kita tidak memberi perhatian kepada isu-isu berkaitan dengan angkasa lepas," katanya.

Bagaimanapun, masih terdapat peluang. Oleh kerana angkasa lepas adalah sebahagian daripada perbincangan di PBB, perhatian yang diberikan boleh dipertingkatkan lagi dengan memperjelaskan idea bahawa angkasa lepas adalah milik umat manusia.

"Dan penerokaan angkasa lepas menjadi satu agenda penting PBB dan, oleh itu, kerjasama antarabangsa adalah penting," katanya.

Mazlan mempunyai dua anak, yang lelaki adalah seorang jurutera aeroangkasa, kini meneruskan pengajian dalam MBA di Amerika Syarikat sementara anak perempuannya, yang berusia 16 tahun, ada bersamanya di Vienna. -BERNAMA

Artikel Lain