suria

Jenazah Almarhumah Raja Muzwin Selamat Disemadikan

KUALA KANGSAR: Jenazah Almarhumah Raja Perempuan Perak Raja Muzwin Raja Ariff Shah selamat disemadikan lewat petang Jumaat di Makam Diraja yang terletak bersebelahan Masjid Ubudiah di sini, Jumaat.

Walaupun cuaca agak mendung namun perkarangan Makam Diraja dibanjiri kerabat diraja, orang kenamaan serta rakyat pelbagai lapisan masyarakat untuk memberi penghormatan terakhir kepada Almarhumah yang juga merupakan isteri kepada Almarhum Sultan Idris Shah II.

Jenazah Almarhumah dibawa dengan pedati khas 'Seraja Diraja' berwarna kuning dari perkarangan Galeri Sultan Azlan Shah di sini menuju ke Masjid Ubudiah untuk disembahyangkan sebelum disemadikan di Makam Diraja.

Doa dan talkin dibacakan oleh Imam Besar Masjid Negeri Perak, Mohd Hafizi Kariah sebelum kerabat diraja terdekat melakukan siraman air mawar dan menabur bunga di makam baginda.

Istiadat pemakaman jenazah Alhmarhumah Raja Muzwin disempurnakan kira-kira 6.50 petang Jumaat. Turut berangkat ialah Sultan Perak Sultan Azlan Shah dan Raja Permaisuri Perak Tuanku Bainun, Sultan Johor Sultan Ibrahim dan Raja Zarith Sofiah, Raja Muda Perak Raja Dr Nazrin Shah dan Raja Puan Besar Perak Tuanku Zara, Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail, Raja Dihilir Perak Raja Jaafar Raja Muda Musa serta Raja Puan Muda Perak Raja Nor Mahani Raja Shahar Shah.

Pada pagi Jumaat, beberapa kerabat diraja, orang kenamaan dan rakyat menziarahi jenazah Almarhumah di Istana Riswin di Ipoh antaranya Sultan Kedah Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah dan Sultanah Haminah Hamidun serta Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail dan Raja Perempuan Perlis, Tuanku Fauziah Tengku Abdul Rashid.

Tengku Mahkota Pahang Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah turut menziarahi jenazah Almarhumah pagi Jumaat.

Tengku Abdullah merupakan anakanda saudara kepada Almarhumah.

Bonda kepada Raja Zarith Sofiah itu mangkat di Institut Jantung Negara (IJN) Kuala Lumpur, pada 4.20 petang Khamis dan jenazah baginda tiba di Istana Riswin, Jalan Sultan Azlan Shah di Ipoh malam Khamis.

Raja Perempuan Perak Raja Muzwin Raja Ariff Shah diputerikan pada 1 Mac 1929 dan ditabal sebagai Raja Perempuan Perak pada 26 Oktober 1963 selepas Sultan Idris Shah II ditabalkan menjadi Sultan Perak ke-33.

Perkongsian hidup pasangan diraja itu dikurniakan dua puteri dan dua putera iaitu Raja Zarith Sofiah, Raja Nadzatul Shima, Raja Iskandar Zulkarnain dan Raja Jamil Ariffin. -BERNAMA

Artikel Lain