suria

10,000 Anggota Askar Wataniah Tidak Aktif Di Johor - Tajuddin

JOHOR BAHARU: Tahap kesiapsiagaan Rejimen 501 Askar Wataniah (AW) yang mempunyai tiga batalion di Johor masih tinggi walaupun 10,000 anggotanya dikesan tidak aktif, kata komandernya Brigadier Jeneral Tajuddin Joned pada Khamis.

Beliau berkata walaupun 10,000 anggota AW di Johor tidak aktif menyumbang tenaga di dalam Rejimen 501, ia mempunyai kemampuan untuk menggembleng anggotanya yang aktif dalam tempoh yang singkat.

"Kita boleh menggembleng 5,000 anggota kita dalam tempoh yang singkat jika diperlukan untuk menjadi benteng kedua pertahanan negara bagi membantu anggota tetap," katanya kepada pemberita selepas merasmikan kem tahunan Rejimen 501 AW di Kem Tebrau di sini.

Beliau berkata anggota AW yang bertugas di Rejimen 501 di atas dasar sukarela itu dikesan tidak aktif disebabkan beberapa faktor seperti mendapat pekerjaan tetap, kesibukan bekerja, elaun AW yang rendah dan pelbagai lagi.

Tajuddin berharap kerajaan dapat menaikkan elaun yang diterima anggota AW termasuk menyediakan pelbagai kemudahan lain bagi memastikan anggota terus aktif menyumbang tenaga dalam Rejimen Askar Wataniah. Sementara itu beliau juga berkata pihaknya akan meningkatkan lagi promosi bagi menarik lebih ramai kaum bukan Melayu supaya turut sama menyumbang tenaga dalam Rejimen Askar Wataniah.

"Dalam Dasar Pertahanan Menyeluruh, tanggungjawab untuk mempertahankan negara perlu dipikul oleh semua rakyatnya tanpa mengira latar belakang kaum dan agama mereka," katanya.

Pada ketika ini katanya, komposisi kaum anggota dalam Rejimen 501 AW ialah 90 hingga 95 peratus terdiri daripada bangsa Melayu dan selebihnya adalah Cina dan India.

Kem Tahunan Rejimen 501 AW yang disertai 58 pegawai dan 274 anggota itu bermula dua hari lepas dan berakhir pada 18 Oktober.

Anggota yang menyertai kem tahunan itu akan terlibat dalam pelbagai jenis latihan termasuk rempuh halangan, menembak, berkawad dan pertandingan sukan seperti bola sepak dan futsal serta latihan medan.

Tajuddin berkata anggota juga akan didedahkan dengan latihan medan iaitu melakukan pelbagai formasi ketika dalam peperangan seperti kemaraan, pertahanan, serangan dan pengunduran. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain